KUALA LANGAT- Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan Jabatan Imigresen (JIM) ke atas sebuah gudang terpencil di kawasan ladang kelapa sawit di Telok Panglima Garang, di sini, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM bermula pukul10.55 pagi susulan aduan awam mengenai kegiatan menggajikan pekerja asing tanpa dokumen sah.
“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen. Tindakan tegas akan terus diambil demi memastikan integriti, keadilan dan ketenteraman awam selaras dengan prinsip Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, JIM menahan dua lelaki warganegara China, sembilan lelaki Bangladesh, dua lelaki India, dua lelaki dan lapan wanita Myanmar serta seorang wanita Kemboja.
Katanya, semakan awal mendapati dua warga China menyalahgunakan pas, manakala dua warga Bangladesh tinggal lebih masa. Selebihnya didapati tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah.
“JIM turut menyita tiga pasport Bangladesh, tiga pasport Myanmar, dua pasport China, satu pasport Kemboja serta sebuah kenderaan Mercedes-Benz yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
“Gudang berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembungkusan barangan dari China untuk dihantar kepada pelanggan melalui platform dalam talian dan telah beroperasi sejak enam bulan lalu. Premis itu tiada papan tanda dan terletak di lokasi terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan semua PATI dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala tiga warga tempatan dipanggil membantu siasatan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ihsan Imigresen