ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Kedah menahan reman dua individu termasuk seorang pendakwah bebas kerana disyaki bersubahat menyalah guna kuasa meluluskan kira-kira RM600,000.
Tindakan itu dipercayai sebagai balasan bayaran bagi tujuan mengumpul dana sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah.
Perintah reman selama sehari sehingga esok terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Noorfazlina Musa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani pagi tadi.
Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira pukul 1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek, masing-masing merupakan Pengarah Urusan Syarikat dan Ketua Jabatan Kewangan dan Perakauan disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar September 2018.
“Suspek utama seorang lelaki dipercayai telah menyalahgunakan jawatannya telah bersubahat bersama suspek kedua, seorang wanita dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 kepada suspek utama sebagai bayaran pengumpul dana tanpa mendapat kelulusan daripada rakan kongsi yang lain,” katanya.
Tambah sumber, siasatan yang dijalankan SPRM Kedah dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM telah bermula sejak Oktober tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ihsan SPRM