BANTING – Operasi pemadaman kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS), Sungai Kelambu memasuki hari ketiga hari ini dengan 47 ekar kawasan kebakaran berjaya dipadamkan, manakala baki sembilan ekar masih terbakar.
Ketua Zon 5 (KLIA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, PgKB II Mohamad Issmanto Md Pono berkata, kebakaran yang bermula pada 3 Februari lalu masih aktif di beberapa kawasan, namun situasi terkawal dan tidak mengancam penempatan berhampiran serta Loji Rawatan Air (LRA) berdekatan.
“Sehingga pukul 10 pagi hari ini (5 Februari), keseluruhan kawasan terjejas dianggarkan seluas 56 ekar. Daripada jumlah itu, 47 ekar telah berjaya dipadamkan sepenuhnya, manakala sembilan ekar masih dalam proses pemadaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman diketuai Komander Operasi, PKPgB (TBBK I) Arul Cshelvan Chalaya, dengan kekuatan dua pegawai dan 10 anggota JBPM, dibantu 23 anggota daripada pelbagai agensi sokongan.
Agensi bantuan yang terlibat termasuk Pasukan Tindakan Kecemasan (Pantas), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Bencana, Jabatan Perhutanan dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPBN).
Dua unit dron bomba turut digunakan bagi memantau pergerakan api dan mengenal pasti hotspot di kawasan yang sukar diakses.
Mohamad Issmanto berkata, walaupun masih terdapat beberapa hotspot kecil, kebakaran tidak merebak ke kawasan penempatan atau fasiliti kritikal. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ihsan Bomba