KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan mengambil mudah aksi terakhir peringkat Kumpulan B Shopee Cup 2025/26 apabila berdepan Nam Định FC di Stadium Thiên Trường, Vietnam, malam ini.
Ketua jurulatih Harimau Selatan, Xisco Muñoz menegaskan pasukannya perlu berada pada tahap terbaik berdepan lawan yang masih belum tewas dalam saingan setakat ini.
JDT kini menduduki tempat kedua Kumpulan B dengan 10 mata daripada empat perlawanan dan hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir. Namun, Muñoz enggan pemainnya leka walaupun misi kelihatan mudah di atas kertas.
Nam Định muncul satu-satunya pasukan yang mencatat empat kemenangan berturut-turut setakat ini, sesuatu yang diakui Muñoz sebagai bukti kekuatan mereka.
“Mereka sebuah pasukan yang sangat tersusun dari segi taktikal. Mereka pantas melakukan transisi dengan pemain-pemain yang laju dan berbahaya apabila menyerang. Bukan kebetulan mereka mengutip mata maksimum setakat ini,” katanya.
Pengendali dari Sepanyol itu turut memberi amaran mengenai ancaman penyerang naturalisasi Vietnam kelahiran Brazil, Nguyễn Xuân Son yang kini merupakan penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol.
Keupayaan Son dalam perebutan bola tinggi serta penyudah klinikal menjadi nadi kepada 12 gol yang telah dijaringkan Nam Định setakat ini.
Sekiranya JDT seri, mereka tetap layak ke separuh akhir, namun kemenangan akan membolehkan mereka muncul juara Kumpulan B sekali gus berpotensi mendapat laluan lebih baik pada peringkat kalah mati. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST