KUALA LUMPUR – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman berat terhadap pengurus pasukan kebangsaan Indonesia, Sumardji susulan insiden membabitkan pegawai perlawanan ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Iraq, Oktober tahun lalu.
Hukuman itu berpunca daripada pertembungan sengit antara Indonesia dan Iraq pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia yang berlangsung pada 11 Oktober 2025, yang menyaksikan Garuda tewas tipis 0-1.
Berdasarkan keputusan rasmi, Sumardji digantung daripada mengiringi pasukan kebangsaan Indonesia selama 20 perlawanan dan didenda AS$20,000 (kira-kira RM78,960) selepas didapati bersalah menolak pengadil dari China, Ma Ning.
Ma Ning merupakan pengadil yang mengendalikan perlawanan tersebut, yang ditentukan menerusi jaringan Zidane Iqbal pada minit ke-76.
Ketegangan jelas memuncak sepanjang perlawanan susulan beberapa keputusan pengadilan yang dianggap kontroversi oleh kem Indonesia.
Antara insiden paling hangat ialah ketika Kevin Diks dijatuhkan dalam kotak penalti, namun pengadil memilih untuk tidak memberikan sepakan penalti. Situasi itu diburukkan lagi apabila semakan VAR dilaporkan terhad, sekali gus mencetuskan kemarahan pemain dan pegawai Indonesia.
Keadaan semakin tegang selepas wisel penamat apabila pemain dan pegawai mengerumuni pengadil sebagai tanda protes.
Ekoran konfrontasi tersebut, Shayne Pattynama, Thom Haye dan Sumardji dilayangkan kad merah kerana bantahan berlebihan.
FIFA kemudian turut mengenakan penggantungan empat perlawanan antarabangsa ke atas Pattynama dan Haye, sekali gus menyaksikan mereka terlepas jendela perlawanan antarabangsa Indonesia pada Mac dan Jun 2026, satu tamparan besar kepada perancangan skuad Garuda. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – PSSI