PETALING JAYA – Persatuan Pengeluar Produk Getah Malaysia (MRPMA) melakar pencapaian baharu apabila merasmikan pejabat baharunya di sini, Sabtu lalu, yang turut diserikan dengan Sambutan Tahun Baru Cina.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, yang kehadirannya mencerminkan sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan industri pembuatan negara.
MRPMA dalam kenyataannya merakamkan penghargaan kepada Lee atas dorongan serta penglibatan aktif beliau dalam memperkukuh kerjasama dengan sektor pembuatan.
Turut hadir ialah wakil Lembaga Getah Malaysia (MRB) dan Majlis Getah Malaysia (MRC), selain pemimpin serta ahli daripada pelbagai persatuan dan organisasi industri seperti EMPTA, Malaysian Senior Scientists Association (MSSA), FAWOAM, PRIM, FTSARA, MGPA, MUVATA, HKMBA, MEOA, MARGMA, Malaysian National Shippers’ Council/FMM, TEEAM, SME Association dan MACPMA.
Majlis itu juga disertai rakan antarabangsa dan serantau termasuk Taiwan Trade Center Kuala Lumpur, MOEA – Taipei Economic and Cultural Office, HKETO KL dan HKTDC KL.
Ditubuhkan pada 1952, MRPMA memiliki 74 tahun pengalaman dalam mewakili dan memimpin industri getah negara. Perasmian pejabat baharu itu dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh operasi serta meningkatkan perkhidmatan kepada ahli.
Sementara itu, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, eksport produk getah negara susut 15.97 peratus pada 2025 kepada RM20 bilion berbanding RM23.8 bilion pada 2024, susulan permintaan global yang lemah dan ketidaktentuan ekonomi.
Sebagai respons, MRPMA menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan dan pemain industri bagi meningkatkan daya saing pengeluar serta memperluas peluang eksport.
Dalam pada itu, MRPMA turut menonjolkan tanggungjawab sosial apabila menjemput beberapa pertubuhan kebajikan termasuk House of Love (Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih) Klang, Sunshine Disability Welfare Homes Cheras dan Pertubuhan PDK Rumah Sayangku untuk menyertai majlis berkenaan.
Presiden MRPMA, Yeaw Kok Kwey berkata, pembukaan pejabat baharu itu bukan sekadar pencapaian organisasi, tetapi bukti ketahanan dan kerjasama dalam industri getah Malaysia.
“Sejak 1952 hingga perpindahan terbaru ke EMHUB, MRPMA sentiasa berkembang untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada industri. Kami berbesar hati meraikan pencapaian ini bersama ahli, rakan kongsi dan komuniti, serta komited terhadap inisiatif yang memberi impak positif,” katanya. – DETIK MALAYSIA