HIROSHIMA – Ketua jurulatih Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul memberi amaran awal terhadap ancaman ‘sengatan Brazil’ Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi Liga Juara-Juara Elit AFC 2025/26 Zon Timur di Stadium Edion Peace Wing, malam ini.
Pada masa sama, Gaul bertekad memburu kemenangan pertama di laman sendiri bagi mengesahkan slot ke pusingan 16 terakhir lebih awal.
Bercakap pada sidang akhbar pra-perlawanan semalam, Gaul mengakui tekanan semakin meningkat namun menegaskan anak buahnya sudah bersedia untuk berjuang 100 peratus.
“Sudah tentu kami sedar kemenangan akan menjamin kemaraan kami. Menyelesaikannya lebih awal adalah perkara baik dan kami akan berikan segalanya untuk tiga mata,” katanya.
Bagaimanapun, Gaul tetap berwaspada dengan kualiti JDT, khususnya barisan pemain import mereka.
“Mereka memiliki keupayaan individu tinggi, terutama pemain Brazil dan Eropah. Serangan balas mereka sangat pantas, jadi kami perlu sentiasa berwaspada.
“Namun, jika kami mampu mengawal bola dengan baik, saya percaya momentum akan berpihak kepada kami,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Sanfrecce Hisroshima