KUALA LANGAT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Baiduri, Banting di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.42 pagi itu, rumah teres berkenaan dilaporkan musnah 85 peratus.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.42 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting tiba di lokasi pada pukul 4.45 pagi.
Menurutnya, jarak balai ke lokasi kejadian adalah kira-kira tiga kilometer.
“Seramai 10 anggota bersama dua jentera iaitu sebuah FRT dan sebuah LFRT digerakkan ke lokasi dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Panglima Garang.
“Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dan terdapat dua mangsa terperangkap semasa operasi pemadaman dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 5.05 pagi dan dipadam sepenuhnya pada pukul 7 pagi.
Katanya, pada pukul 6.09 pagi, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun berjaya ditemukan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seorang lagi mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Status lanjut mangsa masih belum diketahui.
“Jumlah keseluruhan penghuni rumah adalah seramai 10 orang. Sembilan berjaya diselamatkan manakala seorang kanak-kanak lelaki ditemukan rentung di bahagian bilik tingkat atas rumah,” jelasnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Bomba Selanggor