PETALING JAYA – Selangor FC berpesta gol apabila membelasah Negeri Sembilan FC 5-1 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.
Kemenangan bergaya itu sekali gus mengesahkan kemaraan Gergasi Merah ke pentas separuh akhir dengan agregat 6-1.
Turun dengan kesebelasan terbaik, Selangor mempertaruhkan Kalamullah Al-Hafiz sebagai penjaga gol, manakala Faisal Halim menggalas tugas kapten. Gandingan Chrigor Moraes dan Alvin Fortes pula mengetuai jentera serangan.
Negeri Sembilan menurunkan Aqil Razak di posisi penjaga gol, Khuzaimi Piee sebagai kapten, sementara Jovan Motika diberi tanggungjawab mengemudi bahagian depan.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Faisal meledak gol seawal minit pertama hasil kesilapan mudah benteng pelawat yang gagal menyerap asakan pantas.
Tersentak dengan gol awal itu, Sang Rusa cuba bangkit menerusi kombinasi A. Selvan dan Takumi Sasaki, namun percubaan demi percubaan gagal menepati sasaran.
Selangor terus menggandakan tekanan dan menambah gol kedua pada minit ke-24 menerusi Alvin Fortes yang bijak menyempurnakan hantaran lintang Chrigor Moraes.
Dominasi Gergasi Merah semakin terserlah apabila Nooa Laine meledak gol ketiga pada minit ke-30 menerusi rembatan jarak jauh yang menewaskan Aqil Razak.
Quentin Cheng kemudian menutup babak pertama dengan jaringan keempat pada masa kecederaan, sekali gus memastikan Selangor mendahului 4-0 sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, Selangor terus menguasai perlawanan dan Chrigor Moraes melengkapkan pesta gol tuan rumah pada minit ke-66 untuk kedudukan 5-0.
Negeri Sembilan sekadar memperoleh gol saguhati menerusi sepakan penalti Jovan Motika pada minit ke-73 selepas Ahmad Zikri Khalili melakukan kekasaran dalam kotak penalti.
Keputusan 5-1 kekal hingga wisel penamat dengan Selangor mara bergaya ke separuh akhir dan dijadualkan menentang Kuching City FC yang lebih awal mengesahkan tempat ke kelompok empat terbaik. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC