JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan tindakan Buriram United yang didakwa kerap membuang masa dengan berpura-pura mengalami kecederaan sebagai sesuatu yang tidak bagus untuk bola sepak.
Munoz berkata, tindakan berkenaan turut menjejaskan kelancaran permainan ketika JDT terikat 1-1 dengan Buriram United dalam aksi pembukaan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Menurutnya, JDT sepatutnya mampu meraih kemenangan selepas menguasai permainan selain mencipta beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.
“Saya tidak bangga dengan keputusan seri 1-1, tetapi saya sangat bangga dengan semangat dan kemampuan pemain yang memberikan 100 peratus di atas padang.
“Dalam perlawanan di peringkat elit seperti ini, anda perlu menyempurnakan setiap peluang yang diperoleh. Dalam pertandingan berprestij seperti ini, sukar untuk mendapatkan peluang kedua jika gagal memanfaatkan peluang pertama,” katanya.
Kekecewaan JDT turut bertambah selepas jaringan Oscar Arribas dibatalkan selain penyerang prolifik, Bergson da Silva gagal menyempurnakan sepakan penalti yang berpeluang memberikan kelebihan kepada tuan rumah pada lewat permainan.
Bagaimanapun, Munoz enggan menyalahkan Bergson atas kegagalan tersebut sebaliknya menyifatkannya sebagai sebahagian daripada bola sepak.
“Kadangkala perkara seperti ini berlaku dalam bola sepak. Perkara paling penting sekarang ialah kami adalah pasukan yang kuat dengan mentaliti yang kukuh dan perlu bangkit dengan segera serta membuat persiapan untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Munoz tidak berselindung mengenai rasa tidak puas hatinya terhadap pendekatan Buriram yang didakwa kerap menghentikan permainan menerusi insiden kecederaan.
“Taktik seperti ini tidak bagus untuk bola sepak kerana peminat membayar untuk datang menyaksikan perlawanan. Masa permainan efektif amat penting bagi memberikan pengalaman tontonan berkualiti.
“Kadangkala kita menyangka seorang pemain itu ‘hampir mati’ kerana semua orang terkejut, tetapi seminit atau dua kemudian, dia sudah kembali berlari di atas padang. Bagi saya, perkara ini tidak memberikan gambaran yang baik untuk masa depan bola sepak,” katanya.
Perlawanan berkenaan turut menyaksikan kedua-dua pasukan mengakhiri aksi dengan 10 pemain.
Buriram kehilangan Kenny Dougall selepas dilayangkan kad merah pada minit ke-58, manakala pertahanan JDT, Eddy Israfilov turut diperintahkan keluar padang pada minit ke-90. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC
