KUCHING – Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak memandang mudah ancaman Phnom Penh Crown terutama menerusi situasi bola mati menjelang aksi pembukaan Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL Two) 2026/27.
Kuching City akan berdepan Phnom Penh Crown dalam perlawanan pertama kempen Kumpulan H dengan Aidil menjangkakan pertembungan sengit antara kedua-dua pasukan.
Menurut Aidil, skuad kendaliannya menerima layanan baik sejak tiba di Phnom Penh dan kini bersedia menghadapi aksi yang dijangka berlangsung menarik.
“Sejak kami tiba semalam, semuanya berjalan lancar. Layanan yang diberikan sangat baik.
“Untuk perlawanan ini, ia sangat penting buat kedua-dua pasukan kerana ia adalah permulaan ACL Two. Sudah tentu ia akan menjadi aksi menarik dengan kedua-dua pasukan memberikan 100 peratus dan kami menjangkakan permainan positif,” katanya pada sidang media praperlawanan.
Aidil yang mempunyai pengalaman berdepan pasukan dari Kemboja turut mengakui pihaknya sudah mengenal pasti beberapa ancaman yang dimiliki Phnom Penh Crown.
Beliau secara khusus menyebut pemain nombor 10 Phnom Penh Crown, Moses sebagai antara pemain yang perlu diberi perhatian.
Malah, pemain bernombor 14 turut dianggap berbahaya terutama menerusi kepakaran kaki kiri ketika mengambil situasi bola mati.
“Sudah tentu kami tahu mengenai aspek fizikal dan apa yang mereka bawa ke aksi ACL ini. Salah satu perkara yang perlu kami beri perhatian ialah bola mati.
“Kami tahu mereka mempunyai pemain menyerang yang bagus seperti pemain nombor 10 mereka, Moses. Dia pemain penting yang perlu kami awasi.
“Selain itu, pemain nombor 14 mereka mempunyai kaki kiri yang sangat baik untuk situasi bola mati,” katanya.
Bagaimanapun, Aidil menegaskan Kuching City tidak mahu terlalu memberikan tumpuan kepada kekuatan lawan sehingga mengabaikan perancangan sendiri.
“Kami lebih fokus kepada pasukan sendiri, pelan permainan dan bagaimana kami akan bermain menentang mereka, berbanding terlalu memikirkan lawan,” katanya.
Dalam pada itu, Aidil mengakui bola sepak Kemboja menunjukkan perkembangan positif berbanding ketika beliau berdepan pasukan dari negara itu sebelum ini.
Katanya, kehadiran lebih ramai pemain import berkualiti dalam Liga Kemboja menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan tersebut.
“Keadaan Liga Bola Sepak Kemboja semakin baik berbanding dahulu ketika kami pernah berdepan mereka.
“Anda boleh lihat sekarang mereka mempunyai lebih ramai pemain berkualiti, terutama pemain asing yang dibawa masuk ke liga. Di situlah anda boleh lihat perkembangan mereka,” katanya.
Aidil turut mengakui aksi di pentas benua pastinya berbeza berbanding saingan liga dan piala, terutama dari segi peraturan berkaitan jumlah pemain asing yang boleh diturunkan.
“Sudah pasti ia akan menjadi permainan yang berbeza. Liga dan piala sentiasa berbeza.
“Kami tahu Phnom Penh Crown lebih kuat dengan lebih ramai pemain asing. Kami menghormati mereka dan mahu kekal merendah diri,” katanya.
Kuching City kini mengharapkan pendekatan tersebut dapat diterjemahkan kepada persembahan positif apabila berdepan Phnom Penh Crown dalam aksi pembukaan Kumpulan H ACL Two 2026/27.
Aidil menegaskan disiplin dan fokus terhadap permainan sendiri menjadi perkara paling penting buat pasukannya.
“Perkara paling penting esok ialah kami perlu fokus kepada pasukan sendiri,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KCFC
