IPOH – Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas dua lori terlibat dalam kemalangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.36 malam.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, kemalangan didapati melibatkan sebuah lori membawa muatan habuk kayu dengan seorang lelaki berusia 42 tahun tersepit.
“Sebuah lagi lori membawa muatan sayur dinaiki dua lelaki masing-masing berusia 35 dan 40 tahun yang disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, ketua operasi menjalankan penilaian awal sebelum mengaplikasikan Konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan sebelum mangsa cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menggunakan ambulans.
“Mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya, anggota bomba turut menggunakan satu aliran salur bantu mula dan habuk kayu bagi menjalankan kerja pembersihan sisa kemalangan serta tumpahan minyak di permukaan jalan.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain, ketua operasi mengarahkan anggota bersama jentera kembali ke balai,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JBPM Perak
