KUALA NERUS – Seramai 573 delegasi sempena Southeast Asia Olympiad Championship & Sustainable Tourism Workshop (SEAOCSTW) Senior High School berpeluang meneroka beberapa lokasi menarik di sekitar Kuala Nerus sebagai usaha mempromosikan Visit Malaysia dan Visit Truly Terengganu 2027.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Taman Tamadun Islam (TTI) dan Noor Arfa Craft Centre (NACC), selain berpeluang merakam foto untuk dikongsikan di negara masing-masing.
Selain itu, keindahan Jambatan Angkat Kuala Terengganu serta suasana nyaman bandar raya Kuala Terengganu yang majoriti penduduknya beragama Islam turut diperkenalkan kepada delegasi berkenaan.
Pengalaman berkenaan turut diserikan dengan keramahan serta layanan pengusaha kampung inap dan homestay di Teluk Ketapang yang diberi perhatian dalam usaha meninggalkan kenangan manis kepada para delegasi.
Pengalaman tersebut diharap dapat menarik minat mereka untuk kembali menyertai program Olympiad 2027 di Terengganu.
Lebih menarik, Masjid Al Ansar, Kem Seri Pantai, Teluk Ketapang turut memainkan peranan penting apabila menjadi antara pusat aktiviti SEAOCSTW.
Program berkenaan dilihat sebagai platform strategik untuk memperkenalkan keunikan budaya, warisan, hospitaliti dan identiti Islamik Terengganu kepada delegasi dari rantau Asia Tenggara. – DETIK MALAYSIA
