KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan lawatan kerja ke New Delhi, India dengan mengadakan pertemuan bersama beberapa syarikat utama bagi meneroka peluang memperluas pelaburan dan kerjasama industri antara kedua-dua negara.
Anwar berkata, beliau bertemu wakil DRB-HICOM, SEGULA Technologies India, AWL Agri Business Limited dan Motherson Group bagi membincangkan peluang dalam sektor strategik.
“Pertemuan pertama diadakan bersama wakil DRB-HICOM yang hadir bersama rakan strategik mereka bagi meneroka ruang kerjasama dengan industri automotif di India,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, pertemuan bersama SEGULA Technologies India turut membuka peluang baharu apabila syarikat kejuruteraan dan teknologi global itu menyatakan hasrat untuk menubuhkan Pusat Kejuruteraan Global di Malaysia menjelang akhir 2026.
Katanya, inisiatif berkenaan berupaya memperkukuh keupayaan kejuruteraan tempatan menerusi pengambilan bakat Malaysia serta penerapan kepakaran kecerdasan buatan (AI) dalam sektor automotif, aeroangkasa, tenaga dan pembuatan termaju.
Dalam pada itu, pertemuan bersama AWL Agri Business Limited memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pembelian produk daripada pembekal Malaysia.
“ Syarikat itu telah mengimport produk minyak sawit Malaysia bernilai kira-kira RM1.5 bilion, sekali gus membuka ruang untuk memperluas kerjasama dalam minyak sawit, lemak khusus, oleokimia dan produk hiliran lain,” katanya.
Anwar berkata, beliau turut bertemu wakil Motherson Group yang berkongsi perancangan untuk mengembangkan perniagaan teknologi maklumat dan penyelesaian digital di Malaysia.
“Langkah ini akan memanfaatkan kekuatan bakat tempatan, infrastruktur digital serta kedudukan strategik Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran serantau,” katanya.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut mencerminkan keyakinan pemain industri dan pelabur terhadap potensi serta hala tuju ekonomi Malaysia.
“Kerajaan MADANI akan terus memudah cara pelaburan berkualiti yang memperkukuh industri tempatan, mencipta pekerjaan bernilai tinggi serta memastikan limpahan manfaatnya dapat dirasai rakyat,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ANWAR IBRAHIM
