Edwin Yeoh Tiong Chin (dua dari kiri) ketika menyerahkan sijil MBOR kepada Md Amin Md Taff sambil disaksikan oleh Zambry Abd Kadir pada Malam Kemuncak Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 di Dataran MADANI, Seri Manjung.
Oleh Bazli Razak
SERI MANJUNG – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi rekod “Most International Students Participating in a Foster Family Program” menerusi Program Bakti MADANI Mega 2026.
Pengiktirafan itu disampaikan oleh Perunding Rekod Kanan MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin dan Perunding Rekod, Mohamad Hazim Danial Mohamad Nizam kepada Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, pada Malam Kemuncak Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 di Dataran MADANI, Seri Manjung, semalam.
Majlis penyerahan sijil itu disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut Md Amin, program Bakti MADANI Mega 2026 anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi dan UPSI itu merupakan inisiatif diplomasi budaya yang menghimpunkan 82 pelajar antarabangsa bersama 33 keluarga angkat dari Kampung Telaga Nenas dan Kampung Bharu, Manjung.
Beliau berkata pengiktirafan berkenaan mencerminkan kejayaan usaha memperkukuh hubungan antara pelajar antarabangsa dengan masyarakat tempatan menerusi penghayatan budaya dan kehidupan komuniti setempat.
Menurutnya, program itu bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar antarabangsa untuk mengenali tradisi masyarakat Malaysia dengan lebih dekat, malah menyemai nilai perpaduan, saling menghormati dan persahabatan merentasi negara.
“Program ini menjadi simbol keharmonian dan ukhuwah sejagat apabila pelajar dari pelbagai negara berpeluang tinggal bersama keluarga angkat, mengenali budaya tempatan serta merasai sendiri kehidupan bermasyarakat di Malaysia.
“Pendekatan ini membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar berlangsung di bilik kuliah, sebaliknya turut berkembang melalui interaksi sosial, pengalaman budaya dan hubungan kemanusiaan yang mampu merapatkan masyarakat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata penglibatan keluarga angkat dan penduduk kampung turut memberikan pengalaman bermakna kepada pelajar antarabangsa untuk memahami adat resam, tradisi serta nilai kehidupan masyarakat tempatan.
Antara pengisian program ialah persembahan nasyid oleh pelajar tahfiz, pengenalan kepada upacara tradisional berendoi serta peluang menikmati makanan warisan masyarakat setempat, termasuk penjan ubi kayu dan ubi rebus bersama ikan bilis.
Menurutnya, pengalaman berkenaan bukan sahaja memperkenalkan keunikan budaya Melayu kepada peserta, malah membuka ruang kepada pembentukan persahabatan dan persefahaman antara masyarakat berlainan latar belakang.
Sementara itu, Zambry berkata PULARA perlu terus diperkasa sebagai wadah memelihara warisan budaya, memperkukuh jati diri bangsa dan mendekatkan institusi pengajian tinggi dengan masyarakat menerusi penghayatan seni, budaya dan kesusasteraan.
Beliau berkata pembangunan negara bukan hanya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya turut merangkumi pembangunan insan secara menyeluruh, termasuk dalam bidang seni dan kebudayaan yang berperanan membentuk masyarakat bersatu padu.
Festival PULARA 2026 yang berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober itu menghimpunkan pelbagai pengisian seni, puisi, lagu rakyat dan persembahan kebudayaan bagi memelihara serta mengangkat warisan bangsa. – DETIK MALAYSIA
