SHAH ALAM – Budaya berkata benar, menolak fitnah dan menentang kezaliman perlu diperkukuh bagi membina masyarakat berintegriti serta memastikan keadilan terus dipertahankan.
Presiden TERAS, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, konsep qaulan sadida dalam Islam menekankan kepentingan menyampaikan perkataan yang benar, tepat dan berlandaskan amanah.
Beliau berkata, kemajuan teknologi komunikasi yang membolehkan maklumat disebarkan dengan pantas tidak semestinya menjadikan masyarakat lebih jujur dan beradab.
Sebaliknya, katanya, pembohongan boleh disebarkan sebagai kebenaran, fitnah dipersembahkan sebagai keberanian manakala propaganda disampaikan seolah-olah fakta.
“Setiap ucapan membawa nilai moral, membentuk persepsi, mempengaruhi tindakan dan boleh menentukan sama ada seseorang mendapat pembelaan atau menjadi mangsa ketidakadilan,” katanya dalam kenyataan sempena Siri Tadabbur al-Quran pada 25 Oktober.
Menurutnya, membina budaya kebenaran bukan sekadar berkaitan kesopanan ketika berbicara, sebaliknya merangkumi pembentukan masyarakat berintegriti serta pengukuhan institusi yang adil.
Beliau berkata, prinsip qaulan sadida turut menuntut setiap individu menyemak fakta sebelum menyebarkan maklumat, mengakui kesilapan dan mengelakkan tuduhan yang tidak berasas.
Katanya, prinsip berkenaan juga menolak sikap menentukan kebenaran berdasarkan identiti, hubungan atau kepentingan sesuatu kelompok.
“Kebenaran tidak boleh berubah menjadi benar atau salah hanya berdasarkan siapa yang mengucapkannya. Keadilan tidak boleh ditentukan berdasarkan siapa yang kita sukai,” katanya.
Mengulas penyebaran fitnah dalam persekitaran digital, Mohd Azmi berkata, maklumat yang dipotong daripada konteks, gambar dengan keterangan palsu serta dakwaan tidak disahkan boleh menjejaskan maruah dan kehidupan seseorang.
Justeru, katanya, masyarakat perlu menyemak sumber asal, memastikan tarikh dan konteks maklumat serta membezakan fakta daripada pendapat sebelum berkongsi sesuatu kandungan.
Beliau berkata, perkembangan kecerdasan buatan (AI) turut meningkatkan keperluan untuk meneliti kesahihan teks, gambar, audio dan video yang boleh dihasilkan atau diubah menggunakan teknologi berkenaan.
“Keinginan untuk menarik perhatian masyarakat tidak boleh mengatasi tanggungjawab menjaga ketepatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keberanian menyatakan kebenaran perlu disertai kebijaksanaan, bukti yang boleh dipertanggungjawabkan serta penggunaan saluran yang sesuai.
Katanya, pemimpin dan institusi juga perlu bersedia menerima teguran berasaskan fakta kerana kritikan yang bertanggungjawab boleh membantu mengenal pasti kelemahan dan mencegah kerosakan lebih besar.
Beliau berkata, perjuangan menegakkan keadilan tidak boleh dilakukan melalui kaedah yang sama-sama menzalimi pihak lain, termasuk menyebarkan pembohongan atas alasan membela mangsa.
“Pembelaan terhadap mangsa mesti berpaksikan fakta, prinsip dan penghormatan terhadap maruah manusia. Kemarahan terhadap ketidakadilan tidak boleh dijadikan alasan untuk meninggalkan kebenaran,” katanya.
Mohd Azmi berkata, budaya qaulan sadida perlu diterapkan dalam keluarga, institusi pendidikan, organisasi, media, kerajaan dan gerakan kemanusiaan supaya ketepatan maklumat serta pertanggungjawaban menjadi amalan.
Beliau berkata, prinsip berkenaan berteraskan firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 70, yang memerintahkan orang beriman supaya bertakwa kepada Allah dan mengucapkan perkataan yang benar.
Menurutnya, masyarakat perlu menjadikan kebenaran sebagai ukuran, amanah sebagai pegangan dan keadilan sebagai matlamat dalam kehidupan.
“Marilah kita membina budaya yang menghormati fakta, menolak fitnah, membela mereka yang dizalimi dan menuntut pertanggungjawaban daripada sesiapa sahaja yang menyalahgunakan kuasa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap perkataan merupakan amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. – DETIK MALAYSIA
