PANAMA CITY – Malaysia menerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) kekal dalam barisan kepimpinan badan induk gerakan koperasi dunia selepas Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dipilih sebagai Ahli Lembaga International Cooperative Alliance (ICA) bagi penggal 2026 hingga 2030.
Pemilihan itu berlangsung sempena Perhimpunan Agung ICA 2026 di Panama Convention Centre, Panama City, Panama, semalam.
Abdul Fattah dipilih bersama 14 Ahli Lembaga lain daripada keseluruhan 24 calon yang bertanding untuk mengisi jawatan berkenaan bagi tempoh empat tahun.
Daripada 15 Ahli Lembaga yang dipilih, tujuh merupakan penyandang yang dipilih semula manakala lapan lagi adalah muka baharu termasuk Abdul Fattah.
Kedudukan Malaysia dalam kepimpinan ICA diteruskan selepas kerusi Ahli Lembaga bagi penggal 2022 hingga 2026 sebelum ini disandang Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail.
Pemilihan itu melibatkan 116 pengundi yang mewakili 193 organisasi anggota ICA dari 66 negara.
Dalam perhimpunan sama, Dr. Ariel Guarco dari Argentina dipilih semula tanpa bertanding sebagai Presiden ICA.
Struktur Lembaga Global ICA mempunyai 30 anggota terdiri daripada Presiden, empat Naib Presiden serantau, lapan wakil organisasi sektor, 15 Ahli Lembaga serta Presiden Jawatankuasa Belia dan Presiden Jawatankuasa Kesaksamaan Gender.
Abdul Fattah berkata, pemilihannya merupakan penghormatan dan amanah besar bukan sahaja kepada ANGKASA, malah keseluruhan gerakan koperasi Malaysia yang melibatkan 16,468 koperasi dengan 7.3 juta anggota.
“Kemenangan ini adalah kemenangan gerakan koperasi Malaysia. Ia membuktikan keyakinan pemimpin koperasi antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia untuk terus menyumbang idea, pengalaman dan kepimpinan dalam menentukan hala tuju gerakan koperasi di peringkat global.
“ANGKASA akan menggunakan platform ini untuk memastikan suara dan kepentingan koperasi Malaysia terus diberi perhatian, selain memperluas jaringan strategik, kerjasama ekonomi dan kepakaran antara koperasi Malaysia dengan koperasi di seluruh dunia,” katanya.
Abdul Fattah turut menyandang jawatan Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP).
Menurut beliau, kedudukan dalam Lembaga ICA membuka ruang lebih luas kepada ANGKASA untuk membawa perspektif gerakan koperasi Malaysia dalam pembentukan dasar dan agenda koperasi antarabangsa.
Ia khususnya dalam aspek pembangunan mampan, keterangkuman ekonomi, pengukuhan perdagangan antara koperasi serta pembangunan komuniti.
Perhimpunan Agung ICA turut membincangkan Laporan Tahunan 2025 dan pelaksanaan strategi ICA 2026-2030, ‘Practice, Promote, Protect’ yang memberi tumpuan kepada lima teras iaitu People, Data, Advocacy, Finance dan Future.
Anggota ICA turut memberi mandat kepada Lembaga baharu untuk meneruskan pembangunan formula baharu bagi pengiraan yuran keanggotaan dan hak mengundi yang lebih sesuai dengan struktur keanggotaan ICA.
ANGKASA menjadi anggota tetap ICA sejak 16 Mei 1972 dan terus memainkan peranan dalam jaringan serta kepimpinan gerakan koperasi antarabangsa.
ICA yang ditubuhkan pada 1895 merupakan badan induk gerakan koperasi dunia yang menyatukan, mewakili dan memberi khidmat kepada koperasi di seluruh dunia.
Badan itu mewakili gerakan yang merangkumi kira-kira satu bilion anggota koperasi dan sekitar tiga juta koperasi di seluruh dunia.
Perhimpunan Agung ICA 2026 berlangsung dalam rangka ICA Global Conference & Assemblies 2026 di Panama bertemakan ‘Building Bridges: Cooperative Contributions for a Peaceful World’.
Persidangan itu menghimpunkan pemimpin dan organisasi koperasi antarabangsa bagi membincangkan peranan koperasi dalam membina keamanan, memperkukuh kerjasama serta mendepani perubahan landskap ekonomi global.
Seramai 25 delegasi koperasi Malaysia diketuai Presiden ANGKASA turut menghadiri persidangan berkenaan membabitkan wakil Institut Koperasi Malaysia (IKMa), ANGKASA, Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA), Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat), Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (KATMB), Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO), Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (KOJADI), Koperasi Konsumer Malaysia Berhad dan Koperasi Tenaga Nasional Berhad (KTNB). – DETIK MALAYSIA
