MARUDI – Seorang lelaki maut selepas tersepit di bawah sebuah jentolak dalam kejadian di Long Seridan, di sini semalam.
Mangsa, Mancha Lingan, 40, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Long Seridan sebelum ketibaan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.08 petang sebelum empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi digerakkan ke lokasi menggunakan sebuah kenderaan utiliti Triton.
Katanya, pasukan tiba di lokasi pada pukul 9.49 malam selepas menempuh perjalanan sejauh 261 kilometer.
“Perjalanan mengambil masa agak lama berikutan jarak yang jauh serta keadaan jalan balak yang licin dan berlubang.
“Pasukan turut perlu menyeberangi sungai sebelum meneruskan perjalanan darat sejauh kira-kira empat kilometer untuk sampai ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebaik tiba, pasukan mendapati seorang lelaki tersepit di bawah jentolak berkenaan.
“Maklumat awal berhubung kejadian telah diambil oleh Komander Operasi menerusi panggilan telefon bagi membolehkan persediaan dibuat sebelum pasukan tiba di lokasi.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Long Seridan,” katanya.
Beliau berkata, Komander Operasi mengarahkan anggota menyediakan peralatan menyelamat termasuk Power Unit Rescue Tools dan dua unit beg udara bagi mengeluarkan mangsa.
“Cubaan awal untuk mengeluarkan mangsa menghadapi kesukaran kerana mangsa berada dalam keadaan tersepit di bawah jentolak.
“Komander Operasi kemudian berbincang dengan Polis Bantuan di lokasi sebelum operasi diteruskan dengan bantuan mekanik daripada sebuah syarikat,” katanya.
Katanya, mekanik berkenaan bertindak membuka dan memotong rantai roda jentolak menggunakan pemotong gas oksigen bagi memudahkan proses mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan namun mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan kaki kanan serta tidak menunjukkan tanda-tanda kehidupan.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada polis bantuan untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Marudi menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik sebuah syarikat,” katanya.
Tambahnya, selepas keadaan di lokasi didapati benar-benar selamat, operasi dikawal pada pukul 11 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.22 malam. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JBPM Sarawak
