ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Buriram United, Mario Silva mengakui pasukannya perlu berada pada tahap terbaik sekiranya mahu menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga AFC Champions League Elite (ACLE) 2026/27, esok.
Pengendali kelahiran Portugal itu berkata, pertembungan kedua-dua gergasi Asia berkenaan bukan sahaja sukar, malah menuntut persembahan berkualiti tinggi daripada anak buahnya.
“Daripada apa yang saya lihat, kami hanya akan dapat menewaskan Johor jika berada pada tahap yang tinggi.
“Ini akan menjadi perlawanan sukar buat kedua-dua pasukan. Esok, anda akan melihat dua pasukan besar beraksi dan ia boleh dianggap sebagai antara perlawanan terbesar antara kelab di Asia,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan.
Silva yang baru dilantik sebagai pengendali Buriram mengakui tempoh persiapan singkat menjadi cabaran buatnya apabila perlawanan menentang JDT hadir pada perlawanan keduanya bersama kelab Thailand itu.
Bagaimanapun, beliau percaya kualiti serta profesionalisme pemain mampu membantu pasukan memberikan aksi terbaik.
“Bukan mudah untuk jurulatih tiba pada awal musim liga dan Liga Juara-Juara pada masa sama. Namun, saya sangat percaya kepada pemain yang ada.
“Saya gembira dengan mereka. Kami tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih, tetapi mereka adalah pemain profesional yang sangat kuat dan berkualiti,” katanya.
Menurut Silva, fokus utamanya bukan untuk memberi tumpuan kepada pemain tertentu dalam skuad JDT, sebaliknya memastikan seluruh pasukannya berfungsi sebagai sebuah unit.
“Kami menganalisis setiap perincian lawan seperti semua jurulatih lakukan. Saya tahu Johor mempunyai pasukan yang kuat serta pemain berkualiti.
“Kami tahu kekuatan dan kelemahan mereka, tetapi bagi saya perkara paling penting ialah pasukan kami sendiri.
“Saya berharap pemain utama kami dapat menjadi penentu esok. Kami perlu menghormati lawan dan menganalisis bahagian yang boleh kami manfaatkan,” katanya.
Silva turut menyifatkan pertembungan JDT dan Buriram sebagai antara aksi klasik bola sepak Asia, selain berharap pasukannya mampu mencipta kejutan di Stadium Sultan Ibrahim.
“Saya tahu Johor juga mempunyai jurulatih dari Sepanyol. Saya fikir kami berdua akan cuba memastikan pasukan bermain bola sepak yang baik dan memberikan perlawanan menarik kepada penyokong.
“Sudah tentu saya berharap akhirnya Buriram yang meraikan kemenangan,” katanya.
Sementara itu, kapten Buriram United, Kenneth Dougall mengakui rekod positif pasukannya ketika berdepan JDT dalam tempoh dua musim lalu tidak memberikan sebarang kelebihan menjelang pertemuan kali ini.
“Ini akan menjadi perlawanan ketujuh menentang JDT dan tahun ketiga berturut-turut kami bertemu mereka. Kami menjangkakan perlawanan yang sukar seperti biasa.
“Kami agak berjaya dalam dua musim lalu, tetapi itu tidak bermakna apa-apa untuk perlawanan esok,” katanya.
Dougall berkata, perubahan pemain yang berlaku dalam kedua-dua pasukan juga tidak mengubah pendekatan Buriram yang lebih menekankan kekuatan secara berkumpulan berbanding mengawal pemain tertentu.
“Kami tidak cuba menghentikan pemain secara individu. Ia lebih kepada bagaimana kami boleh menghentikan pasukan mereka dan mengenal pasti bahagian yang boleh menjadi kekuatan kami.
“Saya fikir itu antara sebab kami mendapat keputusan positif dalam dua musim lalu,” katanya.
Buriram United akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menentang JDT pada aksi pembukaan Liga ACLE 2026/27 Zon Timur, esok. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
