SIMPANG RENGGAM – Kira-kira 100 penduduk dan pemimpin komuniti daripada empat taman perumahan menyertai perarakan kemerdekaan sempena sambutan Hari Malaysia di Taman Tiara Perdana di sini, kelmarin.
Program menerusi Jelajah Merdeka Perpaduan KRT 2026 itu dianjurkan KRT Taman Harmoni Sri Mewah Tiara Perdana sebagai usaha menyemarakkan semangat perpaduan dan muafakat dalam kalangan komuniti setempat.
Perarakan bermula pada pukul 8 pagi dari Dewan Terbuka Taman Tiara Perdana sebelum berakhir di Dewan Terbuka Taman Harmoni kira-kira pukul 10.30 pagi.
Peserta terdiri daripada penduduk serta pemimpin komuniti dari Taman Harmoni, Sri Mewah 1, Sri Mewah 2, Sri Mewah 3 dan Tiara Perdana.
Dalam program berkenaan, wakil Multiversiti MAPIM Gema Imar (MMGI) dan Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Prof. Dr. Kamari Kasan turut menyampaikan pidato khas bertajuk ‘Empat NGO Taman, Satu Muafakat, Satu Matlamat, Satu Doa’.
Beliau menekankan bahawa setiap tindakan manusia yang dilakukan secara sengaja atau berulang boleh diibaratkan sebagai satu bentuk doa.
“Jika kita tidak suka bekerjasama dan lebih suka bekerja dalam kelompok sendiri sahaja, itu bermakna kita berdoa untuk memecahbelahkan bangsa ini.
“Sebaliknya, apabila kita memilih untuk bekerjasama dan bergerak bersama, kita sebenarnya sedang berdoa untuk perpaduan, keamanan dan keharmonian,” katanya.
Mengambil contoh dalam bidang pendidikan, beliau berkata sikap pelajar yang malas membaca dan belajar seolah-olah menjadi ‘skrip doa’ untuk mencapai kegagalan.
“Pelajar yang rajin belajar dan mengulang kaji pelajaran pula seakan-akan menghantar doa untuk mencapai kejayaan, tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” katanya.
Prof. Dr. Kamari yang merupakan anak kelahiran Johor dari Pontian dan membesar di Felda Cahaya Baru, Masai, berkata program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha membina komuniti yang terus bersatu dan bergerak ke arah matlamat bersama.
“Bangsa Johor wajar menjadi bangsa model dari pelbagai sudut kekuatan dan kejayaan. Ia mesti diangkat menggunakan kekuatan ilmu dan kemahiran,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, MMGI bersama UNIMEL akan melancarkan program pengilatan masyarakat bermula daripada komuniti taman yang sudah menunjukkan semangat kesatuan dan kemuafakatan.
Hadir mewakili Menteri Besar Johor ialah Pegawai Khas beliau, Tuan Mohd Hafiz Shukor yang turut merestui usaha kepimpinan empat taman terbabit.
Program tersebut turut diakhiri dengan sesi muafakat dan perbincangan bagi merangka langkah seterusnya dalam memperkukuh jaringan komuniti serta memperkasakan program pendidikan sepanjang hayat di peringkat akar umbi. – DETIK MALAYSIA
