BAGAN DATUK – Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Bagan Datuk berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik yang menghimpunkan masyarakat setempat di Padang Arena Selekoh, di sini hari ini.
Program yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 10.45 pagi itu turut diadakan bersama Program Jelajah Sejahtera Desaku @ Rungkup 2026.
Program berkenaan dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak.
Pelbagai aktiviti dianjurkan melibatkan masyarakat setempat antaranya pertandingan tarik tali, pertandingan mewarna kanak-kanak, Pertandingan Busana Kemerdekaan, Pertandingan Sepak Raga Ratus serta Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik.
Program tersebut bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotik dan kecintaan terhadap negara, malah turut menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Penganjuran program itu berlangsung dalam suasana cukup meriah dengan penyertaan dan sokongan masyarakat setempat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Pusat Perkhidmatan YAB Ahli Parlimen Bagan Datuk
