KOTA TINGGI – Tiga individu maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 31.2, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam pada pukul 6.20 petang.
Menurut beliau, kemalangan itu melibatkan sebuah Honda BR-V yang dinaiki tiga lelaki tempatan berusia 42 dan 58 tahun serta sebuah Perodua Axia dinaiki seorang lelaki berusia 38 tahun bersama seorang wanita berusia 34 tahun.
“Siasatan awal mendapati penumpang belakang Honda BR-V dan penumpang hadapan Perodua Axia maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
“Pemandu Perodua Axia pula disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk dikejarkan ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut.
“Pemandu serta penumpang hadapan Honda BR-V yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – IHSAN BOMBA
