AMMAN – Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Dato’ Sri Dr. Osman Bakar, menerima King Abdullah II ibn Al Hussein Order for Distinction Darjah Pertama, satu pengiktirafan kebesaran Diraja Jordan sebagai menghargai sumbangan beliau dalam bidang keilmuan Islam dan usaha memperjuangkan kepentingan umat Islam di peringkat antarabangsa.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Al Hussein bin Abdullah II, Pemangku Raja mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II, dalam satu majlis penghormatan kepada sarjana Islam terkemuka yang menyertai Persidangan Umum ke-19 Royal Aal al-Bayt Institute for Islamic Thought (RABIIT) yang berlangsung di Istana Al Husseiniya, Amman, pada 9 September baru-baru ini.
Prof. Emeritus Dato’ Sri Dr. Osman Bakar merupakan antara tiga sarjana yang menerima King Abdullah II ibn Al Hussein Order for Distinction Darjah Pertama, bersama Shaikh Ahmed bin Saud al Siyabi dari Oman dan Ahmed Shawki Benbin dari Maghribi.
Pengiktirafan tersebut menyerlahkan sumbangan sarjana Islam dari pelbagai negara dalam memperkukuh pemikiran dan wacana Islam serta menangani isu-isu semasa yang berkaitan dengan umat Islam.
Persidangan Umum ke-19 RABIIT yang berlangsung selama tiga hari di Amman bertemakan “The Ummah’s Priorities for the Next 25 Years (2026–2050)” atau “Keutamaan Ummah untuk 25 Tahun Akan Datang (2026–2050)”.
Persidangan berkenaan menghimpunkan sarjana dan penyelidik terpilih daripada pelbagai mazhab, aliran pemikiran dan tradisi intelektual Islam, termasuk dari negara-negara Islam dan bukan Islam, bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan Islam serta mengemukakan pandangan dan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi umat. Lebih 70 sarjana daripada Royal Aal al-Bayt Academy menyertai persidangan tersebut, mewakili institusi daripada pelbagai mazhab, aliran pemikiran dan tradisi intelektual di 30 negara.
Dalam majlis yang sama, Putera Mahkota turut menyampaikan sijil keahlian RABIIT kepada beberapa sarjana dan tokoh akademik, termasuk Setiausaha Agung International Islamic Fiqh Academy di Jeddah, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Sano Koutoub Moustapha yang juga Ahli Lembaga Gabenor(BOG) UIAM.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Duli Yang Teramat Mulia Putera Hashim bin Al Hussein dan Putera Ghazi bin Muhammad, Penasihat Utama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II bagi Hal Ehwal Keagamaan dan Kebudayaan serta utusan peribadi baginda merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah RABIIT. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – IIUM
