KAJANG – Seorang pemandu motolori dipercayai terlelap ketika memandu sebelum kenderaannya hilang kawalan dan merempuh struktur hadapan sebuah kedai nasi lemak di Jalan Batu 12 Cheras, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas satu rakaman video memaparkan kemalangan berkenaan tular di media sosial pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang pada 10 September lalu ketika motolori terbabit dalam perjalanan menghala ke Cheras.
“Pemandu lori warga tempatan berusia 37 tahun itu dipercayai terlelap semasa memandu sebelum hilang kawalan lalu merempuh struktur hadapan sebuah kedai nasi lemak.
“Akibat kejadian, motolori mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan, manakala premis berkenaan mengalami kerosakan pada payung perniagaan serta kelengkapan dapur,” menurut kenyataan itu.
Beliau berkata, jumlah kerugian akibat kejadian dianggarkan sekitar RM500, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-2111 9379 bagi membantu siasatan.
Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu secara berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas dan memastikan keadaan diri sentiasa cergas sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – DETIK MALAYSIA
