KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menafikan menandatangani dokumen yang didakwa membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Hannah berkata, dokumen yang tular di media sosial itu adalah palsu dan meminta orang ramai supaya tidak menyebarkannya.
“Saya tidak pernah menandatangani perintah tahanan rumah seperti yang sedang tular di media sosial. Lembaga Pengampunan masih belum bersidang.
“Tolong jangan sebarkan dokumen palsu ini. Setiausaha akhbar saya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan ringkas malam tadi.
Dokumen berkenaan didakwa memaparkan mohor diraja serta mendakwa Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersetuju supaya Najib diberikan pengampunan.
Ia turut mendakwa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan, memerintahkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah di kediamannya.
Dokumen itu juga mendakwa Najib masih perlu membayar semua denda yang dikenakan terhadapnya dan akan dikenakan tambahan hukuman penjara setahun sekiranya gagal berbuat demikian.
Perkembangan itu berlaku ketika terdapat laporan bahawa Lembaga Pengampunan dijangka bersidang semula hari ini bagi mempertimbangkan permohonan Najib, seminggu selepas perkara berkenaan ditangguhkan pada mesyuarat 11 September lalu. Bagaimanapun, laporan mengenai mesyuarat itu belum disahkan secara rasmi.
Selepas mesyuarat 11 September, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan menangguhkan pertimbangan permohonan Najib ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.
Pada Rabu, Hannah berkata pandangannya mengenai permohonan Najib dalam mesyuarat berkenaan dibuat selepas meneliti pandangan bertulis Peguam Negara, manakala keputusan muktamad berhubung pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada Disember 2025, Najib turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion selepas disabitkan atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB. Beliau sedang merayu terhadap sabitan dan hukuman itu. – DETIK MALAYSIA
