Oleh MUHAMMAD AHLAMI RABAIE
BANDA HILIR – Program Diaspora Inspirasi Jelajah Alam Varsiti UPSI 2026 (DIJAVU’26), inisiatif Persatuan Bahasa Melayu Sidang 2025/2026 UPSI (PERBAYU), berlangsung di Dewan Optimis, SMK Tinggi Melaka, di sini pada 9 September lalu.
Program yang bermula tepat pukul 9 pagi itu dirasmikan Pengetua SMK Tinggi Melaka, Tuan Haji Johan Othman.
DIJAVU’26 merupakan program kesukarelawanan hasil kolaborasi strategik PERBAYU UPSI bersama Pusat Tingkatan Enam SMK Tinggi Melaka, Ikatan Mahasiswa Anak Melaka UPSI (IMAM), Perkumpulan Anak-anak Melaka Universiti Sains Malaysia (PURNAMA) dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok (JPKK UMK).
Selaras slogan ‘Melakar Aspirasi, Menyubur Insan Harmonis’, program itu mengetengahkan dua slot utama yang memberi fokus kepada persediaan pembangunan akademik dan sahsiah bakal mahasiswa.
Slot pertama, Forum Bicara Siswa Madani: ‘Diversiti Kehidupan Kampus – Akademik, Persahabatan atau Aktif Berpersatuan?’ membincangkan realiti kehidupan mahasiswa daripada pelbagai sudut.
Forum itu menampilkan tiga panel utama daripada tiga universiti berbeza iaitu Presiden PERBAYU UPSI, Nursyahirah Ahmad Kamal; Naib Yang Di-Pertua PURNAMA USM, Muhammad Afiq Hakim Zaini dan Yang Dipertua JPKK UMK Kampus Bachok, Muhammad Amir Al-Hakim Zulhashari.
Nursyahirah aktif dalam program pembangunan modal insan selain terbabit dalam bidang penulisan artikel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Muhammad Afiq pula aktif dalam bidang kepimpinan dan kesukarelawanan menerusi program Baktisiswa USM di samping memperkukuh ukhuwah mahasiswa anak Melaka di USM.
Muhammad Amir Al-Hakim pula terbabit dalam program kelestarian alam sekitar, Art for Nature yang diadakan di Sungai Dara, Behrang, Perak pada Disember tahun lalu.
Perkongsian pengalaman ketiga-tiga panel membabitkan pengurusan akademik, pembinaan jaringan persahabatan, penglibatan dalam persatuan serta kepentingan pembangunan kemahiran insaniah sepanjang berada di universiti.
Forum berkenaan turut memberi pendedahan kepada pelajar tingkatan enam mengenai situasi sebenar kehidupan universiti yang tidak hanya tertumpu kepada potensi akademik, sebaliknya memerlukan persediaan mental dan fizikal bagi mendepani cabaran pengajian serta kegiatan luar dewan kuliah.
Selain forum, DIJAVU’26 turut mengisi slot Perkongsian Interaktif Persediaan Menghadiri Temu Duga ‘Selangkah ke Alam Varsiti’ yang memberi pendedahan mengenai teknik menghadapi sesi temu duga kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan jendela kerjaya.
Perkongsian itu merangkumi aspek penampilan diri, komunikasi berkesan, etika profesional serta strategi menjawab soalan temu duga dengan yakin dan tersusun.
Sesi berkenaan dibahagikan kepada tiga aktiviti utama iaitu ‘Me, Myself & I: Kenali Diri, Serlahkan Potensi’, ‘Melangkah ke Jendela: Berani Menghadapi Temu Duga’ dan ‘Would Your Hire? Dari Perspektif Majikan’.
Aktiviti pertama menekankan latihan memperkenalkan diri secara tersusun dan profesional, manakala aktiviti kedua membabitkan 12 cadangan soalan temu duga terkini yang sering diajukan kepada calon termasuk satu soalan yang perlu dijawab sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.
Sesi itu diakhiri dengan aktiviti demonstrasi ‘Would Your Hire? Dari Perspektif Majikan’ yang memerlukan pelajar menentukan sama ada jawapan calon lakonan berkualiti dan boleh diterima atau sebaliknya.
Pelajar turut diberi peluang berbincang bersama rakan kumpulan bagi memastikan setiap pilihan dibuat secara rasional dan disokong justifikasi.
Secara holistik, DIJAVU’26 menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4, SDG 10, SDG 11, SDG 16 dan SDG 17 melalui forum serta sesi perkongsian berkaitan pendidikan tinggi, pembentukan karakter profesional dan persediaan ke alam universiti.
Program itu turut memperkukuh kerjasama antara UPSI, USM, UMK dan pihak sekolah dalam usaha melahirkan modal insan berilmu serta berdaya saing.
Penglibatan aktif peserta sepanjang program membuktikan keberkesanan penganjurannya, manakala maklum balas diterima menunjukkan peningkatan motivasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Secara keseluruhannya, DIJAVU’26 berjaya mencapai objektif ditetapkan dan diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi pelajar yang lebih bersedia menghadapi cabaran pendidikan tinggi serta dunia kerjaya. – DETIK MALAYSIA
