NAGOYA, JEPUN – Integriti dalam kalangan pegawai sepak takraw bukan sekadar perlu diterapkan melalui peraturan, pembentangan atau slogan, sebaliknya mesti terlebih dahulu ditunjukkan oleh pemimpin.
Pengerusi Jawatankuasa Etika dan Integriti ASTAF, Jais Abdul Karim berkata, pemimpin perlu menjadi contoh dengan mengamalkan sendiri nilai yang diharapkan daripada orang lain.
“Apabila kita bercakap mengenai integriti, orang selalu melihat kepada peraturan. Tetapi sebelum melihat peraturan, mereka melihat kepada pemimpin. Pemimpin mesti mengamalkan apa yang diharapkannya daripada orang lain,” katanya ketika menyampaikan mesej berhubung integriti kepada pegawai sepak takraw di Nagoya, Jepun, semalam.
Jais turut menjadikan Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader sebagai contoh kepimpinan yang dibina berasaskan disiplin, konsisten dan prinsip.
“Bagi kami di ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader memberikan contoh yang kukuh. Beliau menuntut disiplin kerana beliau sendiri berdisiplin. Beliau bercakap mengenai kesetiaan kerana kekal setia kepada sepak takraw selama beberapa dekad.
“Apabila beliau bercakap mengenai integriti, beliau mengharapkan standard yang sama daripada dirinya sendiri dan semua orang di sekelilingnya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) dan pengadil bahawa integriti amat penting ketika berdepan keputusan sukar, terutama apabila tiada siapa yang memerhatikan mereka.
“Pakaian seragam anda memberikan kuasa, tetapi integriti memberikan kredibiliti,” katanya.
Jais berkata, setiap pegawai perlu menjaga kepercayaan yang diberikan kepada mereka dalam memastikan maruah dan integriti sukan itu terus dipelihara.
“Kita mungkin datang dari negara berbeza, tetapi apabila berkhidmat untuk sepak takraw, kita membawa satu tanggungjawab iaitu berlaku adil, berani dan melindungi integriti permainan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ASTAF
