NAGOYA, JEPUN – Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader (AHK) mengingatkan semua pegawai supaya mengutamakan kerjasama, disiplin dan komitmen penuh bagi memastikan penganjuran sepak takraw pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 berlangsung dengan jayanya.
Beliau berkata, pengurusan sepak takraw di temasya berkenaan memerlukan kerja berpasukan, selain setiap pegawai perlu menyumbangkan kepakaran masing-masing demi kepentingan sukan itu.
“Bekerjasamalah untuk kejayaan sepak takraw,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada peserta Bengkel Pengadil Sepak Takraw Antarabangsa dan Serantau di Nagoya, Jepun, hari ini.
Dalam taklimat berkenaan, AHK turut mengingatkan semua pegawai supaya membawa komputer riba masing-masing sepanjang kejohanan bagi memastikan tugasan operasi dan pentadbiran dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
Beliau turut menegaskan supaya pegawai tidak bergaduh sesama sendiri kerana perbezaan peribadi atau agenda individu tidak seharusnya mengganggu tanggungjawab profesional.
AHK berkata, beliau memahami situasi yang berlaku di lapangan dan mengharapkan standard tinggi dapat dikekalkan sepanjang pertandingan.
Menurutnya, menguruskan sepak takraw bukan sekadar tanggungjawab pada waktu siang, sebaliknya memerlukan perhatian siang dan malam.
Dengan semua pegawai hadir ke Nagoya penuh semangat, AHK menyeru seluruh pasukan bersatu di bawah satu misi untuk memastikan sepak takraw pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 mencapai kejayaan cemerlang.
Satu pasukan. Satu permainan. Satu standard. Satu integriti. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ASTAF
