KAJANG – Seorang lelaki berusia 54 tahun kerugian RM39,000 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja secara atas talian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan berhubung kes penipuan tawaran kerja secara atas talian itu.
Beliau berkata, mangsa menerima tawaran kerja menerusi panggilan telefon pada 15 September 2026 untuk jawatan sebagai pengurus.
“Mangsa diminta membuat pembayaran dengan alasan wang berkenaan akan dibayar semula ketika sesi temu duga.
“Mangsa kemudian membuat beberapa pemindahan wang ke akaun bank yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada 16 September 2026, mangsa membuat tiga transaksi berjumlah RM39,000.
“Mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan, namun berasa curiga dan mengesyaki dirinya telah ditipu sebelum tidak meneruskan bayaran tersebut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Naazron menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah mempercayai tawaran kerja yang dipromosikan secara atas talian.
“Orang ramai disarankan membuat semakan dengan agensi berkaitan sebelum membuat sebarang pembayaran.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya membuat semakan nombor akaun bank yang diberikan melalui portal Semak Mule atau Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 sekiranya telah menjadi mangsa penipuan kewangan atas talian,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Polis Daerah Kajang
