IPOH – Skuad hoki lelaki kebangsaan meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-32 selepas bangkit menewaskan Amerika Syarikat 4-2 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Speedy Tigers mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi tiga perlawanan, sekali gus mengutip sembilan mata penuh.
Sebelum ini, skuad kendalian ketua jurulatih, Brendon Carolan itu turut mencatat kemenangan ke atas Korea Selatan 3-0 dan Kanada 6-0.
Bagaimanapun, Malaysia dikejutkan dengan jaringan padang Wyatt Kosmos-Katz pada minit ketujuh yang meletakkan Amerika Syarikat di depan.
Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia bangkit memperkemaskan serangan sebelum Faizal Saari menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang pada minit ke-15.
Malaysia kemudian menguasai permainan apabila Faiz Helmi Jali meledak gol kedua pada minit ke-20 untuk memberikan kelebihan 2-1 sebelum tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak ketiga, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari menambah jaringan pada minit ke-40 untuk melebarkan kedudukan kepada 3-1.
Faizal kemudian mencetak gol keduanya pada minit ke-43 bagi menjadikan kedudukan 4-1 buat Malaysia.
Amerika Syarikat bagaimanapun tidak mengalah apabila Hans Kei Kaeppeler merapatkan jurang menerusi jaringan padang pada minit ke-52.
Namun, Malaysia kekal tenang mempertahankan kelebihan tersebut sehingga wisel penamat untuk mengesahkan kemenangan 4-2.
Dalam satu lagi aksi hari ketiga, Korea Selatan meraih kemenangan pertama selepas menewaskan Kanada 2-0, manakala Australia menundukkan Pakistan 5-2. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Hokita
