NUSA PENIDA – Seorang wanita warga Malaysia maut selepas mengalami kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Crystal Bay, Desa Sakti, di sini semalam.
Mangsa, Siti Nuraini Rusidi, 40, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan perubatan kira-kira pukul 11.10 pagi waktu tempatan.
Berdasarkan siasatan awal, mangsa menyertai rombongan menyelam bermula pukul 8 pagi dan dilaporkan mengalami batuk-batuk ketika berada di lokasi pertama di Manta Bay.
Bagaimanapun, mangsa meneruskan aktiviti selepas mengesahkan dirinya berada dalam keadaan stabil sebelum kumpulan berkenaan bergerak ke lokasi kedua di Crystal Bay.
Ketika berada di Crystal Bay, kumpulan penyelam berdepan arus kuat sebelum mangsa panik akibat kehabisan bekalan oksigen.
Mangsa kemudian dibantu jurupandu penyelam sebelum dibawa naik ke permukaan perahu untuk pemeriksaan.
“Pemeriksaan di atas perahu mendapati mangsa mengeluarkan buih daripada hidung dan mulut sebelum tidak lagi memberikan sebarang respons.
“Pihak Klinik Nusa Medika mengesahkan mangsa disyaki mengalami henti nafas,” menurut kenyataan polis tempatan.
Polsek Nusa Penida kini menjalankan siasatan lanjut sementara menunggu proses autopsi oleh pihak keluarga.
Jasad mangsa dihantar ke Rumah Sakit Bali Mandara kira-kira pukul 5 petang semalam bagi pemeriksaan perubatan dan urusan dokumentasi. – DETIK MALAYSIA
Sumber dan kredit foto – Bali News
