PELABUHAN KLANG – Satu jasad ditemui kira-kira 14 batu nautika di barat Sungai Apong, Selangor hari ini, pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) pemancing yang hilang di perairan One Fathom Bank.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, jasad itu ditemukan dalam sektor pencarian yang diperluaskan sehingga ke sempadan perairan Selangor dan Perak.
Menurut beliau, jasad berkenaan dipindahkan menggunakan Bot BENTENG 1206 milik Maritim Negeri Perak sebelum diserahkan kepada polis bagi urusan pengecaman dan pengesahan identiti oleh waris.
Katanya, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) diaktifkan semula pada pukul 7 pagi bagi menyelaras operasi aset udara dan laut meliputi kawasan perairan seluas 203.85 batu nautika persegi bagi sektor laut dan 408 batu nautika persegi bagi sektor udara.
“Sebuah Kapal Maritim (KM) NUSA dari Maritim Negeri Perak turut digerakkan bagi memperluaskan kawasan pencarian.
“Maritim Malaysia terus menyelaras operasi bersama agensi terlibat secara pantas dan tersusun. Perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Maritim Malaysia Negeri Selangor menerusi talian 013-660 6652. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – APMM
