PHNOM PENH – Kuching City FC memulakan kempen AFC Champions League Two (ACL Two) 2026/27 dengan kekalahan selepas tewas 2-1 kepada Phnom Penh Crown FC di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh, Kemboja, malam tadi.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu bermula kurang meyakinkan apabila tuan rumah menguasai permainan menerusi hantaran pendek pantas, malah hampir membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi Callum Timmins, namun percubaannya diselamatkan Haziq Nadzli. Babak pertama berakhir tanpa jaringan.
Phnom Penh Crown kemudian memecah kebuntuan pada minit ke-55 menerusi Moses Dyer yang menyudahkan gerakan hasil hantaran Guytho Mijland untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Aidil melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Ramadhan Saifullah dan Ajdin Mujagic sebelum Mujagic menyamakan kedudukan pada minit ke-71 menerusi rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol lawan, Um Vichet.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir seri, Dyer muncul wira tuan rumah apabila menyempurnakan sepakan sudut pada penghujung permainan untuk melengkapkan jaringan kedua peribadinya sekali gus memastikan kemenangan 2-1 Phnom Penh Crown.
Kekalahan itu menyaksikan Kuching City perlu bangkit dalam aksi Kumpulan H seterusnya apabila menanti kunjungan kelab Hong Kong, Kitchee SC pada 15 Oktober. Pada tarikh sama, Phnom Penh Crown akan bertandang ke Korea Selatan menentang Gangwon FC. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC
