KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa memberikan penjelasan bertulis berhubung aspek kawal selia dan dokumentasi dua kargo petroleum bernilai lebih RM220 juta yang dikendalikan di bawah prosedur Kastam K8 di Tanjung Langsat, Johor.
Pakar industri maritim, Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, penjelasan rasmi itu penting bagi memperincikan tanggungjawab setiap pihak selain menjawab persoalan berkaitan pengendalian, dokumentasi dan pergerakan kargo berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd berkata, syarikatnya hanya bertindak sebagai ejen kapal bagi kedua-dua pergerakan kargo itu dan bukan pemilik kargo, pengendali terminal, makmal, pengikrar atau pihak berkuasa kawal selia.
Menurutnya, berdasarkan laporan syarikat bertarikh 26 Ogos, kedua-dua kargo berkenaan membabitkan 76,954.325 tan metrik Atlanta Crude bernilai RM220,253,176.38.
Katanya, kargo terbabit dipunggah di Tanjung Langsat dan dikaitkan dengan tangki T-5001, T-5004 serta T-5008 di DIALOG Terminals Langsat (DTL).

āNamun, perkara itu tidak membuktikan bahawa mana-mana kargo tertentu telah dicampur atau diadun.
āSebaliknya, ia menjelaskan mengapa rekod berkaitan tangki, penjagaan kargo, ujian dan pergerakan kargo diperlukan bagi memperjelas apa yang berlaku kepada kargo berkenaan,ā katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jeyenderan berkata, penjelasan turut diperlukan berhubung peraturan dan kelulusan yang terpakai kepada kargo K8, termasuk kesan sekiranya berlaku aktiviti pencampuran terhadap klasifikasi kargo serta cara pergerakannya direkodkan dari ketibaan sehingga berlepas.
āK8 ialah pengikraran Kastam bagi barangan yang dibawa masuk ke Malaysia secara sementara untuk tujuan penghantaran semula di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Kastam 2019,ā
katanya.
Beliau turut meminta penjelasan sama ada Petronas pernah dirujuk berhubung kargo terbabit, termasuk pihak yang mendapatkan pandangan, dokumen yang diteliti dan sama ada nasihat bertulis diberikan.
Dalam pada itu, Jeyenderan berkata, pihaknya turut memohon rekod operasi termasuk sejarah tangki, penjagaan kargo, pergerakan produk, keputusan ujian serta rekonsiliasi antara kargo masuk dan keluar.
āSemakin lama ketidakpastian ini berterusan, semakin sukar bagi syarikat menjelaskan peranannya berdasarkan pendirian kawal selia yang jelas dan berautoriti,ā katanya.
Beliau menegaskan permintaan penjelasan itu bukan tuduhan terhadap Petronas, DTL atau mana-mana pihak, sebaliknya bertujuan mendapatkan kejelasan mengenai keperluan kawal selia dan tanggungjawab setiap pihak.
Jeyenderan turut merujuk hasil semakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dimaklumkan tidak menemukan asas bagi kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta tiada ketirisan hasil dikenal pasti setakat ini.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu adalah berasingan daripada persoalan berkaitan pematuhan terhadap keperluan Kastam.
āApa yang kami mahukan ialah kejelasan mengenai keperluan yang terpakai serta tanggungjawab setiap pihak yang terlibat,ā katanya. – DETIK MALAYSIA
