SHAH ALAM – Pelanggaran hak asasi yang didokumentasikan di wilayah Palestin tidak lagi boleh dianggap sekadar angka statistik, sebaliknya mencerminkan pola keganasan dan pemusnahan sistematik yang memerlukan campur tangan antarabangsa segera.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, skala pelanggaran yang direkodkan telah melangkaui tahap yang boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa.
“Ini bukan sekadar angka. Ia mewakili corak keganasan, pemindahan paksa dan kemusnahan yang tersusun terhadap kehidupan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mapim, sejak 7 Oktober 2023, sebanyak 167,818 pelanggaran didokumentasikan di Tebing Barat melibatkan 1,145 kematian, 9,139 kecederaan, 26,232 tangkapan, 8,982 perobohan kediaman, 7,435 serangan peneroka, 34,797 pencerobohan ketenteraan serta 1,438 pelanggaran terhadap tapak keagamaan.
Di Gaza pula, angka korban dilaporkan mencecah 72,045 orang dengan 171,686 cedera, manakala ribuan lagi dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
Mapim turut memaklumkan lebih 52,000 penduduk di utara Tebing Barat dipindahkan dalam operasi tertentu yang didakwa mengubah realiti demografi dan wilayah.
Mohd Azmi berkata, walaupun pengaturan gencatan senjata dibuat, sebanyak 1,620 pelanggaran direkodkan termasuk 560 insiden tembakan langsung, 79 pencerobohan darat, 749 kejadian bedilan serta 591 kematian tambahan.
“Gencatan senjata tanpa penguatkuasaan bukan perlindungan. Ia hanya jeda antara serangan,” tegasnya.
Mapim menyatakan tindakan sementara oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di bawah Konvensyen Genosid serta waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung dakwaan jenayah perang masih belum menghentikan pelanggaran yang berlaku.
Keadaan itu, menurut Mapim, menunjukkan wujud jurang penguatkuasaan yang ketara di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, Mapim menggesa penubuhan pasukan perlindungan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan mandat jelas melindungi orang awam di Gaza dan Tebing Barat.
Antara peranan yang dicadangkan termasuk memantau serta menguatkuasakan pematuhan gencatan senjata, mencegah keganasan peneroka, menjamin laluan bantuan kemanusiaan serta mendokumentasikan bukti pelanggaran.
Mapim turut merujuk preseden misi perlindungan PBB yang pernah dilaksanakan di Bosnia, Lubnan, Timor Leste, Sierra Leone dan Sudan Selatan sebagai justifikasi mekanisme perlindungan antarabangsa.
Dalam pada itu, Mapim mengemukakan lima tuntutan utama termasuk resolusi segera Majlis Keselamatan PBB bagi membenarkan pasukan perlindungan awam, pengaktifan mekanisme kecemasan Perhimpunan Agung sekiranya berlaku kebuntuan veto, penggantungan pemindahan senjata sementara semakan pematuhan dibuat, penguatkuasaan keputusan ICJ dan ICC serta penubuhan pasukan pemantau antarabangsa di Masjid Al-Aqsa dan utara Tebing Barat.
“Ini bukan soal eskalasi, tetapi perlindungan. Jika puluhan ribu kematian tidak mencetuskan tindakan kolektif, maka sistem global berada dalam keadaan kompromi struktur,” katanya.
Beliau menegaskan sejarah akan mencatat sama ada masyarakat antarabangsa memilih untuk bertindak melindungi atau terus berdiam diri. – DETIK MALAYSIA