Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)
SHAH ALAM – Takbir Eid Adha bukan sekadar lafaz yang diucapkan di bibir, tetapi ia adalah pengisytiharan keagungan Allah SWT serta manifestasi pengabdian total seorang hamba kepada Penciptanya. Apabila umat Islam mengalunkan takbir :
“Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, La ilaha illallah, Wallahu Akbar, Allahu Akbar wa lillahil hamd,”
ia membawa makna bahawa Allah Maha Besar mengatasi segala kekuasaan, kezaliman, ketakutan dan keangkuhan manusia.
Menghayati takbir memberi kesan yang mendalam kepada pembinaan jiwa umat. Ia menanam kekuatan spiritual, membina keteguhan iman serta menyedarkan manusia bahawa kehidupan ini perlu dipandu oleh ketaatan kepada Allah SWT.
Takbir juga menyatukan hati umat Islam tanpa mengira bangsa, negara dan kedudukan sosial apabila seluruh umat bertemu dalam lafaz yang sama, dengan roh tauhid yang sama.
Dalam konteks Eid Adha, takbir mengingatkan kita kepada pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Ia mengajar bahawa perjuangan menegakkan kebenaran memerlukan kesabaran, keikhlasan dan kesediaan berkorban demi memenuhi perintah Allah. Semangat ini sangat penting untuk dihidupkan dalam menghadapi pelbagai cabaran umat masa kini, termasuk penindasan, peperangan, kemiskinan dan keruntuhan nilai kemanusiaan.
Takbir juga mempunyai implikasi sosial yang besar. Ia menyeru umat supaya membuang sifat sombong, tamak dan mementingkan diri. Sebaliknya, Eid Adha mendidik masyarakat supaya membina solidariti, memperkukuh ukhuwwah serta memperluaskan budaya prihatin terhadap golongan yang susah dan tertindas.
Di saat sebahagian umat Islam sedang melalui penderitaan akibat konflik dan penjajahan, semangat takbir perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang membawa kepada pembelaan keadilan, bantuan kemanusiaan serta kesatuan ummah. Takbir tidak boleh hanya bergema di masjid dan surau, tetapi mesti hidup dalam sikap, keberanian dan pendirian umat Islam mempertahankan kebenaran dan maruah insan.
Apabila Allah dibesarkan dalam hati manusia, maka segala bentuk ketakutan terhadap kuasa dunia akan menjadi kecil. Di situlah lahirnya jiwa merdeka yang yakin kepada pertolongan Allah SWT.
Semoga Eid Adha kali ini membangunkan kesedaran baru untuk umat kembali kepada kekuatan iman, memperkukuh perpaduan dan membina dunia yang lebih adil, aman dan berperikemanusiaan.
Eid Adha Mubarak. – DETIK MALAYSIA