PATTANI – Kelab Thailand, Pattani FC mula memasang impian besar menjelang aksi sulung mereka dalam Thai League 1 musim 2026/27 apabila menyasarkan kerjasama strategik bersama dua gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
Presiden Pattani FC, Assoc. Prof. Dr. Worawit Baroo berkata, pihak pengurusan kini sedang merangka pelan terbaik bagi memperkukuhkan skuad selepas berjaya mencipta sejarah mara ke liga utama Thailand.
Pattani mengesahkan tiket promosi selepas menewaskan Nongbua Pitchaya FC menerusi penentuan penalti 5-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 secara agregat dalam aksi playoff.
Menurut Worawit, pihaknya sedang menilai strategi terbaik bagi memanfaatkan kuota pemain import yang dibenarkan dalam Thai League 1, termasuk menjalin hubungan dengan kelab-kelab di rantau Asia Tenggara.
“Kami melihat ke arah wilayah selatan dan sedang berhubung dengan kelab seperti Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC,” katanya kepada Thairath Sport.
Selain itu, Pattani FC turut merancang mengadakan lawatan ke Turkiye dan Arab Saudi hujung Jun ini bagi mencari peluang mendapatkan pemain pinjaman daripada kelab luar negara.
“Kami percaya Pattani mempunyai fasiliti dan kemampuan untuk menyokong pemain-pemain tersebut. Ini antara idea yang sedang kami pertimbangkan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Worawit menegaskan Pattani FC tidak mahu menjadi kelab yang berbelanja secara mewah meskipun bakal bersaing di pentas tertinggi bola sepak Thailand.
“Kami bermula daripada kosong tanpa dana besar. Sedikit demi sedikit kami membina pasukan sehingga sampai ke tahap ini.
“Kami perlukan sekitar 55 juta baht untuk musim depan, namun ketika ini kira-kira 37 hingga 38 juta baht sudah tersedia,” katanya.
Beliau turut mendedahkan reputasi positif Pattani FC dalam kalangan pemain import menjadi antara faktor utama ramai pemain asing berminat untuk menyertai kelab tersebut.
Kini, Pattani FC dilihat bersedia membuka lembaran baharu dalam sejarah kelab dengan misi mencabar pasukan-pasukan elit Thai League 1 musim depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Pattani FC