BURIRAM – Hasrat Selangor FC untuk melakar kebangkitan di pentas akhir Shopee Cup 2025/26 tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Buriram United pada aksi final kedua di Stadium Buriram malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan gergasi Thailand berkenaan berjaya mempertahankan kejuaraan menerusi kemenangan agregat 3-1 selepas turut menang 1-0 pada aksi final pertama.
Selangor tampil garang seawal permainan dan hampir mengejutkan tuan rumah menerusi beberapa gerakan pantas kapten pasukan, Faisal Halim yang memberi tekanan kepada benteng Buriram.
Usaha skuad kendalian Kim Pan-gon akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-18 apabila Syahir Bashah meledak gol pembukaan menerusi rembatan jarak jauh yang gagal dikawal kemas penjaga gol, Neil Etheridge.
Gol tersebut menyamakan agregat sekali gus menghidupkan peluang Selangor untuk mencipta kebangkitan dramatik di bumi Thailand.
Namun, Buriram United mula menguasai rentak permainan sebelum menyamakan kedudukan menerusi penyerang sensasi Thailand, Suphanat Mueanta pada minit ke-28 hasil kombinasi menarik bersama Theerathon Bunmathan.
Momentum permainan kemudian terus memihak kepada juara bertahan itu pada babak kedua sebelum Theerathon muncul wira apabila meledak gol cantik menerusi voli kaki kiri pada minit ke-55.
Jaringan tersebut ternyata mematahkan semangat Selangor meskipun wakil Malaysia itu terus berjuang sehingga wisel penamat.
Buriram hampir menambah jaringan menerusi Kingsley Schindler yang terkena tiang gol, manakala Etheridge menebus kesilapannya apabila menyelamatkan tandukan deras Chrigor Moraes pada penghujung aksi.
Kejayaan tersebut menyaksikan Buriram United kendalian Mark Jackson terus mengukuhkan status sebagai kuasa besar bola sepak Asia Tenggara selepas turut mempertahankan gelaran Thai League 1 musim ini.
Walaupun tewas, Selangor tetap wajar diberikan pujian atas aksi kompetitif dipamerkan sepanjang kempen Shopee Cup musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC