SHAH ALAM – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) digesa campur tangan segera bagi menghentikan tindakan agresif Israel terhadap Lubnan yang disifatkan semakin mengancam keselamatan serantau.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, masyarakat antarabangsa tidak boleh terus membiarkan rakyat Lubnan berdepan pencabulan kedaulatan negara, kemusnahan infrastruktur awam serta ancaman konflik lebih besar di Asia Barat.
Menurut beliau, peranan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) perlu diperkasakan dan digerakkan dengan lebih tegas bagi memastikan usaha meredakan ketegangan dapat dilaksanakan segera.
“Serangan berulang Israel ke atas wilayah Lubnan merupakan provokasi berbahaya yang boleh mencetuskan perang lebih luas di rantau itu.
“Majlis Keselamatan PBB mesti bertindak tegas untuk menguatkuasakan undang-undang antarabangsa serta memastikan gencatan senjata di bawah Resolusi 1701 dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Lubnan ketika ini sudah berdepan tekanan ekonomi, ketidakstabilan politik serta krisis kemanusiaan yang serius dan sebarang peningkatan konflik hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Dalam pada itu, Mohd Azmi turut menegaskan pemindahan paksa penduduk awam merupakan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
Katanya, sebarang usaha mengusir penduduk melalui serangan ketenteraan, kepungan, kebuluran atau kemusnahan kawasan awam adalah satu bentuk hukuman kolektif yang melanggar Konvensyen Geneva Keempat.
“Hospital, sekolah, pusat perlindungan pelarian dan kemudahan asas kini berada dalam ancaman, sekali gus menyebabkan orang awam kehilangan tempat perlindungan yang selamat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mapim mengemukakan lima tuntutan utama iaitu menghentikan segera semua bentuk agresi ketenteraan Israel terhadap Lubnan, memperkukuhkan kuasa penguatkuasaan UNIFIL, melindungi orang awam dan infrastruktur awam, memastikan pihak yang melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dipertanggungjawabkan serta melaksanakan campur tangan diplomatik bagi mengelakkan perang lebih besar tercetus.
Mohd Azmi berkata, keamanan dan kestabilan di Lubnan amat penting demi keselamatan rantau Asia Barat dan kegagalan bertindak hanya akan menggalakkan lebih banyak keganasan serta penderitaan rakyat awam. – DETIK MALAYSIA