KUALA TERENGGANU – Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) atau 18 RAMD(PARA) bersama komuniti setempat mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban di Masjid Al Ansar, Kem Seri Pantai, Teluk Ketapang di sini hari ini.
Program itu dianjurkan bersama Koperasi Homestay Teluk Ketapang (KHTK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang, JPKKP Teluk Ketapang, KOSPEN Teluk Ketapang serta Persatuan Belia MAYC Teluk Ketapang.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Kelab Media Perdana Terengganu (METRA) dan Persatuan Kembara Pekak Terengganu.
Sebanyak 10 ekor lembu dikorbankan dalam program tersebut melibatkan empat ekor sumbangan 18 RAMD(PARA), satu ekor daripada METRA dan lima ekor lagi daripada komuniti setempat.

Dalam pada itu, seramai 50 golongan asnaf dan B40 turut menerima agihan daging korban dalam majlis yang berlangsung secara sederhana di perkarangan masjid berkenaan.
Komuniti dan petugas juga disajikan jamuan makan tengah hari membabitkan seekor lembu sumbangan pihak masjid yang disediakan oleh Jiran Wanita KRT Teluk Ketapang serta Biro Helwa Masjid Al Ansar.
Sementara itu, wakil Persatuan Kembara Pekak Terengganu menzahirkan penghargaan kerana pertama kali dijemput menyertai sambutan Aidiladha dan ibadah korban berkenaan yang disifatkan berlangsung meriah serta penuh semangat kebersamaan. – DETIK MALAYSIA