KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mendera kanak-kanak dalam kejadian di sebuah kediaman di Setapak, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya terkesan satu rakaman video yang tular di media sosial Threads dimuat naik oleh pemilik akaun ‘capricedaddycap’ pada 19 Februari 2026.
Menurutnya, video berdurasi dua minit itu memaparkan seorang lelaki memukul, mengasari, menendang serta mengarahkan kanak-kanak terbabit berlari berulang-alik.
“Bagaimanapun, polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu lebih awal iaitu pada 19 Disember 2025 pukul 1.48 petang.
“Laporan dibuat oleh seorang wanita berusia 27 tahun yang juga ibu mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pengadu memaklumkan telah melihat beberapa rakaman video yang menunjukkan suspek melakukan penderaan mental dan fizikal terhadap mangsa di sebuah kediaman serta sekitar Setapak.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Susulan itu, pada 20 Disember 2025, polis menahan suspek iaitu lelaki tempatan berusia 32 tahun yang juga suami pengadu dan ayah tiri mangsa.
“Suspek kemudiannya dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 26 Disember 2025,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera membuat laporan polis sekiranya mengesan sebarang kes penderaan terutama membabitkan kanak-kanak.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – DETIK MALAYSIA