KANGAR – Kelab Liga Super, Imigresen FC, secara rasmi mengumumkan perpindahan gelanggang sendiri ke Stadium Tuanku Syed Putra selepas menerima kelulusan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL).
Perubahan venue itu berkuat kuasa mulai 19 Februari 2026, sekali gus menyaksikan skuad berkenaan membuka episod baharu apabila melebarkan pengaruh ke wilayah utara tanah air.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak kelab memaklumkan aksi pertama sebagai tuan rumah di gelanggang baharu dijadual berlangsung pada 1 Mac 2026 menentang Kuching City FC, tertakluk kepada penyelarasan akhir kedua-dua pasukan.
Langkah tersebut bukan sekadar pertukaran stadium, sebaliknya dilihat sebagai perancangan strategik jangka panjang bagi memperkukuh sokongan serantau serta membentuk identiti baharu kelab di Perlis.
Imigresen FC dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada pengurusan Stadium Negeri Batu Kawan atas segala kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh mereka beraksi di venue berkenaan sebelum ini.
Menurut kenyataan itu, tempoh beraksi di Pulau Pinang menjadi antara fasa penting dalam proses pembangunan dan pematangan pasukan.
Kini dengan Kangar sebagai pangkalan rasmi, Imigresen FC memasang azam untuk menjadikan Stadium Tuanku Syed Putra sebagai kubu kebal yang digeruni lawan, bersandarkan semangat serta sorakan padu penyokong Perlis.
“Lembaran baharu bermula.
“Kami hadir ke utara dengan tekad untuk membina sebuah kubu yang digeruni, didokong semangat dan tenaga penyokong Perlis,” menurut kenyataan tersebut.
Pengumuman itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Imigresen FC, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan. – DETIK MALAYSIA
Kredit Foto – KBSMalaysia
