SEREMBAN – Negeri Sembilan FC (NSFC) melakar langkah bersejarah apabila menghantar Ketua Jurulatih Bawah 20 Tahun serta tiga pemain muda berbakat menjalani sesi percubaan dan lampiran kejurulatihan bersama kelab J3 League, Gainare Tottori selama sebulan.
Delegasi itu diketuai legenda kebangsaan yang juga pengendali skuad B-20, Norhafiz Zamani Misbah, yang akan menyertai struktur kejurulatihan pasukan utama kelab Jepun berkenaan bagi menimba pengalaman taktikal dan metodologi intensiti tinggi bola sepak negara Matahari Terbit.
Turut menggalas cabaran ialah tiga prospek muda NSFC iaitu Airiel Zafran Mohd Azrul (20), Aqil Faris Shalahudin (19) dan Adam Haris Hamizon (21).
Ketiga-tiga pemain itu akan memulakan latihan bersama skuad akademi terlebih dahulu, sebelum berpeluang dipanggil menyertai sesi bersama pasukan utama sekiranya mempamerkan prestasi meyakinkan. Kontrak tetap dalam saingan J.League menjadi ganjaran sekiranya mereka memenuhi piawaian ditetapkan.
Pengerusi NSFC, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan inisiatif tersebut bukan sekadar program jangka pendek, sebaliknya sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang kelab.
“Kita tidak boleh bergantung kepada kejayaan sementara. Hubungan dengan Gainare Tottori membuka ruang memahami ekosistem bola sepak yang terkenal dengan disiplin dan intensiti tinggi. Kita mahu pemain membawa pulang standard baharu ke Seremban,” katanya.
Program itu juga dilihat sebagai persediaan awal menghadapi temasya SUKMA serta membina saluran bakat berterusan ke pentas Liga Super.
Langkah berani NSFC ini memberi isyarat jelas bahawa kelab itu mahu melahirkan pemain bertaraf antarabangsa. Jika salah seorang berjaya menembusi pentas profesional Jepun, ia bakal membuka lembaran baharu buat bola sepak Negeri Sembilan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – NSFC