SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam sekeras-kerasnya tindakan menutup Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis yang diduduki serta seruan ekstremis Zionis yang semakin lantang mendesak supaya masjid suci itu dimusnahkan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, laporan terkini mengesahkan pihak berkuasa Israel menutup akses ke kawasan Masjid Al-Aqsa dan menghalang umat Islam daripada memasuki kompleks tersebut termasuk sekatan terhadap ibadah sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, Masjid Al-Aqsa merupakan tempat suci ketiga paling penting bagi umat Islam dan sebarang usaha menutup, mencemarkan atau mengancam kewujudannya bukan sekadar isu politik.
“Sebaliknya ia merupakan provokasi langsung terhadap akidah, maruah serta hak umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Mapim melihat penutupan Masjid Al-Aqsa serta seruan ekstrem untuk menghancurkannya sebagai satu tindakan pencerobohan terhadap dunia Islam.
Katanya, tindakan itu juga merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta kebebasan beragama.
Dalam masa sama, beliau berkata keadaan di Asia Barat turut menjadi semakin tegang susulan perkembangan konflik perang yang semakin memuncak di rantau itu.
Menurutnya, serangan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran dilaporkan telah mengorbankan Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran, Ayatollah Sayyid Ali Hosseini Khamenei serta beberapa tokoh kanan negara tersebut.
“Peningkatan konflik ini berpotensi mencetuskan perang yang lebih luas di rantau tersebut serta menggugat keamanan dunia.
“Pembunuhan politik dan tindakan ketenteraan agresif tidak akan membawa kestabilan atau keadilan kepada rantau Asia Barat,” katanya.
Sehubungan itu, Mapim menyeru umat Islam di seluruh dunia serta semua pihak yang menjunjung keadilan agar mengecam penutupan Masjid Al-Aqsa, menolak sebarang seruan untuk memusnahkan masjid suci tersebut serta menuntut perlindungan antarabangsa terhadap tapak suci di Baitul Maqdis.
Pada masa sama, pertubuhan itu turut menggesa masyarakat antarabangsa menentang perang serta pencerobohan yang sedang berlaku di Asia Barat.
Menurut Mohd Azmi, perjuangan mempertahankan Masjid Al-Aqsa bukan sekadar isu umat Islam semata-mata, sebaliknya melibatkan soal maruah manusia, undang-undang antarabangsa serta kebebasan beragama.
Dalam perkembangan berkaitan, Mapim turut menyokong seruan untuk mengadakan demonstrasi aman secara global sempena Hari Al-Quds bagi mempertahankan kesucian Baitul Maqdis serta membantah pencerobohan yang berlaku di rantau tersebut.
Di Malaysia, satu himpunan solidariti dijadualkan berlangsung di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 13 Mac ini.
“Himpunan ini bertujuan menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin serta menuntut keadilan dan perlindungan terhadap Masjid Al-Aqsa.
“Umat Islam dan semua manusia yang berpegang kepada keadilan tidak boleh berdiam diri terhadap kezaliman yang sedang berlaku,” katanya.
Beliau menegaskan kesucian Masjid Al-Aqsa mesti dipertahankan dan segala bentuk pencerobohan yang menggugat kestabilan rantau Asia Barat perlu dihentikan.
“Keamanan hanya dapat dicapai melalui keadilan, penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa serta perlindungan terhadap tempat-tempat suci,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA