ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz melaungkan amaran awal menjelang aksi getir menentang Sanfrecce Hiroshima dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Zon Timur AFC Champions League Elite, malam ini.
Jurulatih dari Sepanyol itu menegaskan benteng pertahanan Harimau Selatan perlu berada pada tahap paling ampuh jika mahu mengelak episod duka berulang.
“Pertahanan kami mesti benar-benar kukuh. Mereka bermain dengan intensiti tinggi dan melakukan transisi pantas di bahagian sayap,” katanya.
Kekalahan tipis 1-2 kepada kelab Jepun itu pada aksi peringkat kumpulan, 10 Februari lalu masih segar dalam ingatan. Ketika itu, JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain awal permainan sebelum akhirnya tunduk di gelanggang lawan.
Menurut Xisco, kekuatan Sanfrecce bukan sekadar di bahagian sayap, malah situasi bola mati dan keupayaan satu lawan satu pemain mereka berada di tahap tertinggi.
“Kami bermain di laman sendiri. Suasana di Stadium Sultan Ibrahim perlu dimanfaatkan sepenuhnya, tetapi pemain mesti kekal fokus. Bola mati boleh menjadi perangkap,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Xisco turut mengesahkan dua tonggak utama, Jonathan Silva dan Oscar Arribas tidak digantung perlawanan walaupun sebelum ini timbul spekulasi mengenai pengumpulan kad kuning.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kesebelasan utama yang bakal diturunkan.
“Saya perlu berahsia. Jika saya beritahu siapa yang akan bermain, lawan sudah tahu taktik kami. Apa yang penting, semua pemain bersedia untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya.
Pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim itu dijangka menjadi medan kebangkitan buat JDT, dengan misi jelas memastikan benteng tidak lagi bocor saat berdepan gergasi Jepun. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
