KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres beri bayangan Perak FA boleh menjadi duri dalam daging sekiranya barisan pemain mengambil mudah setiap minit perlawanan untuk aksi separuh akhir pertama Challenge Cup, esok.
Torres selaku pengendali baharu The Rhinos menyifatkan kejutan boleh berlaku sepertimana yang pernah dilakukan Perak FA ketika mereka menewaskan Kuala Lumpur City FC di laman sendiri dalam aksi Piala Malaysia, Februari lalu.
Justeru, beliau mahu anak buahnya bijak membuat keputusan di atas padang selain memanfaatkan setiap peluang terhidang bagi memastikan bekalan selesa dapat diraih untuk dibawa ke Likas selepas ini.
“Pemain saya masih dalam fasa untuk dapatkan balik tahap kecergasan terbaik dan kita nak teruskan idea permainan yang betul agar mereka terus konsisten.
“Ini penting sebab kita kalau boleh nak terus jadi pasukan yang boleh menjadi saingan sengit juga kepada lawan lain dalam setiap perlawanan.
“Kita tak boleh pandang sebelah mata terhadap Perak sebab mereka adalah pasukan yang bagus di mana kita boleh tengok macam mana mereka tewaskan KL di tempat mereka sendiri sebelum ini.
“Jadi, ini akan jadi perlawanan yang sukar untuk kami dan pemain terus bekerja keras dalam latihan untuk memberikan persembahan terbaik malam esok,” jelasnya.
Selain itu, Torres turut memandang serius kedudukan Sabah FC yang kini di tangga ke 4 tercorot Liga Super sambil meletakkan harapan tinggi agar mereka segera bangkit untuk pulihkan prestasi dalam baki beberapa perlawanan musim ini.
“Misi utama kami sudah tentu untuk terus konsisten dalam setiap aksi dan kita mahu keluar daripada kelompok tercorot liga.
“Pemain tahu tugas mereka masing-masing untuk kita perbaiki baik daripada aspek individu atau satu pasukan untuk menjadi lebih kuat selepas ini,” tambahnya.
Sabah FC akan berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung esok dalam misi meraih keputusan positif untuk dibawa ke aksi timbal balik bagi meraih slot ke final Challenge Cup, musim ini.
Perlawanan akan berlangsung pada pukul 10 malam. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Perak FA