KUALA LUMPUR – Siasatan menyeluruh perlu dilakukan terhadap dakwaan wujud komplot menjatuhkan kerajaan yang dikatakan melibatkan rangkaian luar negara serta kelompok pro-Zionis.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pendedahan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat mengenai cubaan menggugat kerajaan melalui dana besar, pengaruh media antarabangsa dan rangkaian luar perlu dipandang serius.
Menurut beliau, jika dakwaan itu disahkan melalui siasatan teliti, ia merupakan ancaman besar terhadap kedaulatan negara, integriti demokrasi berparlimen serta keselamatan nasional.
“Malaysia tidak boleh menjadi medan eksperimen ‘pengurusan persepsi’ oleh rangkaian kuasa luar yang sering dikaitkan dengan campur tangan dan manipulasi naratif terhadap negara yang lantang mempertahankan Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kedaulatan Malaysia tidak boleh diperdagangkan dan sebarang operasi pengaruh asing, termasuk melalui proksi tempatan, mesti dihentikan serta didedahkan melalui proses undang-undang yang adil.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia perlu dilaksanakan secara bebas, menyeluruh dan telus supaya keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara.
“Mapim menyokong siasatan pihak berkuasa dan menegaskan ketelusan sewajarnya perlu dikongsi kepada rakyat tanpa menjejaskan proses perundangan serta keselamatan negara,” katanya.
Tambah beliau, dakwaan strategi menggunakan “international push”, rangkaian NGO antarabangsa dan pengaruh media tertentu juga menunjukkan kemungkinan berlakunya perang maklumat yang boleh menggugat keyakinan terhadap institusi negara serta kestabilan ekonomi.
Sehubungan itu, Mapim mencadangkan beberapa langkah termasuk memperketat undang-undang berkaitan campur tangan asing, meningkatkan kawalan terhadap pendanaan politik dan NGO tertentu serta menubuhkan jawatankuasa dwipartisan Parlimen bagi menangani isu keselamatan negara dan perang maklumat.
Beliau turut menyeru semua pihak, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan sehingga membuka ruang kepada campur tangan pihak luar.
“Malaysia mesti terus mempertahankan prinsip keadilan sejagat termasuk pembelaan terhadap Palestin tanpa tunduk kepada tekanan atau manipulasi mana-mana pihak,” katanya. – DETIK MALAYSIA