ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Sanfrecce Hiroshima 3-1 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite 2025–26 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Juara Liga Super itu memanfaatkan kelebihan pemain apabila pasukan Jepun beraksi dengan 10 orang sejak minit ke-26 selepas pertahanan Korea Selatan, Kim Joo-sung dilayangkan kad merah.
Situasi itu membuka ruang kepada skuad Harimau Selatan untuk menguasai permainan dengan deretan serangan berbahaya.
JDT hampir mendahului pada minit ke-32 apabila sepakan deras Nacho Méndez dari jarak 25 ela menggegar palang gol, sebelum tandukan João Figueiredo pula sekadar singgah di palang pada masa kecederaan babak pertama.
Kebuntuan akhirnya terlerai tujuh minit selepas rehat apabila Méndez menjadi arkitek kepada jaringan pembukaan. Hantarannya disambut kemas oleh Ager Aketxe yang melepaskan rembatan lencong menewaskan penjaga gol lawan, Keisuke Osako.
JDT terus menggandakan tekanan dan hasilnya pada minit ke-63 apabila Eddy Israfilov melorongkan bola kepada Bergson da Silva yang tenang menyudahkan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Serangan pantas JDT sekali lagi membuahkan hasil pada minit ke-85. Selepas percubaan Figueiredo terkena tiang, Marcus Guilherme pantas menyambar bola muntah bagi gol ketiga tuan rumah.
Namun, Hiroshima berjaya meraih gol penting di tempat lawan seminit kemudian apabila lontaran jauh Shuto Nakano mencetuskan kekalutan sebelum bola terkena Nené dan menerjah gawang sendiri menewaskan penjaga gol Andoni Zubiaurre.
Keputusan itu memberi kelebihan dua gol kepada JDT menjelang aksi timbal balik di Hiroshima minggu depan.
Skuad Harimau Selatan kini hanya memerlukan keputusan positif di Jepun untuk mengesahkan tempat ke suku akhir, manakala Hiroshima perlu menang sekurang-kurangnya dua gol tanpa bolos bagi menghidupkan peluang mereka. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST