Oleh MOHD FARIQ
KUALA LUMPUR – Kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Sanfrecce Hiroshima 3-1 dalam aksi aksi pertama pusingan 16 AFC Champions League Elite di Stadium Sultan Ismail (SSI) malam tadi bukan sekadar sebuah keputusan perlawanan.
Ia adalah gambaran jelas tentang bagaimana visi yang dibawa oleh pemilik kelab, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, telah mengubah landskap bola sepak Malaysia secara menyeluruh.
Gol daripada Ager Aketxe, Bergson dan Marcos Guilherme di Stadium Sultan Ibrahim memberikan kelebihan penting buat Harimau Selatan menjelang aksi timbal balik di Hiroshima. Namun, makna sebenar kemenangan itu jauh lebih besar daripada sekadar tiga jaringan di atas padang.
Sejak lebih sedekad lalu, TMJ sering menegaskan bahawa bola sepak Johor perlu berada pada tahap yang berbeza. Pada awalnya, ramai yang menganggap kenyataan itu sekadar kata-kata penuh keyakinan daripada seorang pemilik kelab yang bercita-cita besar.
Namun masa telah membuktikan bahawa visi tersebut bukan sekadar retorik.
Realitinya hari ini jelas apabila TMJ menyatakan sesuatu, beliau benar-benar melaksanakannya.

Kemenangan ke atas Sanfrecce Hiroshima, sebuah kelab yang datang daripada sistem bola sepak Jepun yang terkenal dengan disiplin dan kualitinya, menunjukkan bahawa JDT kini bukan lagi sekadar kuasa dominan di peringkat domestik. Sebaliknya, mereka sudah mula membina reputasi sebagai kelab yang mampu bersaing dengan pasukan elit Asia.
Apa yang berlaku di luar stadium pada malam perlawanan itu juga menggambarkan kekuatan sebenar JDT sebagai sebuah institusi bola sepak.
Di sekitar SSI, ribuan penyokong berkumpul memeriahkan majlis berbuka puasa yang dianjurkan sebelum perlawanan. Khemah-khemah turut disediakan bagi menampung kehadiran peminat yang hadir beramai-ramai. Suasana santai, meriah dan penuh semangat kebersamaan menjadikan malam tersebut lebih daripada sekadar sebuah perlawanan bola sepak.
Tunku Ismail berjaya menjadikan ‘pentas’ itu seolah-olah sebuah perhimpunan keluarga besar Johor yang disatukan oleh kecintaan terhadap pasukan mereka.
Selepas wisel penamat ditiup, suasana kegembiraan terus terasa. Penyokong yang memakai jersi biru merah JDT memenuhi lebuh raya ketika pulang ke pelbagai daerah di negeri itu. Bukan hanya dari Johor Bahru, malah dari Kluang, Batu Pahat hingga Segamat, perjalanan pulang mereka seakan-akan membentuk satu malam perarakan kemenangan yang panjang.
Hakikatnya, dominasi JDT dalam bola sepak tempatan lebih sedekad kini berada pada tahap yang sukar dinafikan. Mengharapkan mereka tewas dalam Liga Super Piala FA atau Piala Malaysia bukan lagi satu pendekatan yang realistik bagi kebanyakan pasukan lain.
JDT telah bergerak beberapa langkah di hadapan dalam pelbagai aspek, termasuk struktur kelab, pembangunan fasiliti, pengurusan profesional serta kualiti pemain yang dimiliki.

Yang lebih penting, kejayaan ini bukan dicapai dalam masa singkat. Ia adalah hasil daripada perancangan jangka panjang yang dilaksanakan secara konsisten selama bertahun-tahun.
Hakikat yang perlu diterima ialah bola sepak Malaysia kini mempunyai satu penanda aras yang sangat jelas.
Persoalannya bukan lagi bagaimana untuk menunggu Johor jatuh, tetapi bagaimana pasukan lain mampu membina kekuatan sendiri bagi mengejar tahap yang telah ditetapkan oleh JDT.
Jika bola sepak Malaysia mahu terus berkembang, lebih banyak kelab perlu berani mencontohi visi, disiplin dan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh TMJ dan JDT.
Bagi penyokong Johor pula, malam kemenangan di pentas tertinggi kelab elit Asia di Iskandar Puteri itu bukan sekadar meraikan tiga gol ke atas Sanfrecce Hiroshima.
Ia adalah satu lagi bukti bahawa mimpi besar yang pernah diungkapkan oleh TMJ suatu ketika dahulu kini semakin menjadi kenyataan.
Luaskan Kuasamu Johor. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST