ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Xisco Muñoz menyifatkan kemenangan Johor Darul Ta’zim ke atas Sanfrecce Hiroshima sebagai satu malam yang fantastik selepas skuad Harimau Selatan meraih kemenangan 3-1 pada aksi pertama pusingan kalah mati AFC Champions League Elite di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Menurut pengendali dari Sepanyol itu, anak buahnya mempamerkan aksi agresif serta disiplin taktikal tinggi sehingga berjaya mengawal hampir keseluruhan permainan.
“Selepas mereka kehilangan seorang pemain, kami menjadi lebih kuat. Para pemain memahami situasi dengan sangat baik.
“Kami mengawal bola, mengekalkan penguasaan permainan dan mencipta peluang yang diperlukan,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, JDT memanfaatkan kelebihan apabila Sanfrecce beraksi dengan 10 pemain, sekali gus membolehkan tuan rumah mendominasi aksi dan membawa bekalan selesa menjelang perlawanan timbal balik di Jepun.
Walaupun gawang Harimau Selatan dibolosi pada lewat permainan, Xisco tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut.
“Jika mahu filem Hollywood yang sempurna, keputusannya mungkin 3-0. Tetapi seperti saya katakan semalam, 3-1 adalah keputusan yang semua orang boleh gembira,” ujarnya.
Pada masa sama, JDT turut berdepan detik cemas apabila kapten pasukan, Natxo Insa terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Bagaimanapun, pemain gantian berjaya mengekalkan rentak permainan apabila masuk dengan semangat tinggi untuk membantu pasukan terus menguasai perlawanan.
Meskipun memiliki kelebihan dua gol, Xisco mengingatkan pasukannya agar tidak terlalu selesa kerana aksi timbal balik di Jepun dijangka lebih mencabar. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
